spot_img
spot_img

Petronas, SPRM dicadang terus di bawah Agong

spot_img

Singapura: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-17  mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan gergasi syarikat minyak dunia, milik negara iaitu Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong berbanding kepada Parlimen seperti amalan biasa sekarang.

Baginda memberi cadangan itu dengan niat untuk memastikan dua ins­titusi penting negara tersebut bebas daripada campur ta­ngan badan eksekutif.

Dipetik melalui temubual eksklusif bersama The Straits Times Si­ngapura semalam, Sultan Ibrahim juga mahu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan sebelum ini, dihidupkan semula.

- Advertisement -

“Jika di bawah kawalan Agong, bermakna ia tidak berada di bawah pengaruh mana-mana badan eksekutif. Malah Petronas pun tidak sepatutnya berada di bawah Parlimen, lapor terus kepada saya,” titah baginda dalam temuramah tersebut.

Sultan Ibrahim juga mahu memerangi amalan rasuah sebaik sahaja baginda memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula awal tahun depan.

Sebagai contoh, baginda menyentuh berkenaan dana pilihanraya di mana pihak yang menang (menjadi kerajaan) pasti perlu membalas semula penyumbang dana itu dengan projek mega. Perkara itu tidak akan dibenarkan semasa pemerintahan baginda, titahnya.

- Advertisement -

“Daripada moyang saya, kami adalah pemburu yang hebat. Saya akan pastikan apabila saya pergi memburu, saya membawa balik hasil yang bagus. Tetapi apabila saya di Kuala Lumpur nanti, ia adalah hutan konkrit, jadi apa yang saya buru? Saya akan memburu semua orang yang korup. Saya akan pastikan saya membawa hasil,” titah baginda.

Dalam temuramah dengan akhbar negara jiran itu, Sultan Ibrahim juga mencadangkan pelantikan kehakiman mesti diasingkan daripada cabang eksekutif bagi memastikan badan kehakiman negara ini benar-benar bebas.

Amalan sekrang, Majlis Raja-raja hanya mendapat senarai itu daripada Pejabat Perdana Menteri semasa raja Melayu bersidang. Baginda mempersoalkan kenapa tidak menyenaraikan nama-nama calon yang layak terlebih dahulu sebelum kerajaan melantik hakim.

“Kami bukan rubber stamp,” titah baginda.

Selain dari itu Sultan Ibrahim juga mahu menghapuskan amalan tradisi penganugerahan pingat Hari Wilayah Persekutuan yang mana baginda mahu menilai senarai penerima anugerah kebesaran itu sendiri.

“Biarkan saya lihat senarai itu tiga bulan lebih awal dan kenapa orang ini patut dilantik. Apakah kriterianya di sini?” titah baginda.

Sultan Ibrahim mahu rancangan HSR Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan, dihidupkan semula dan mempunyai beberapa idea bagi mengembalikan projek berkenaan.

Titah baginda, projek itu boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta yang mana kerajaan membayar kontraktor untuk mengendalikan projek menerusi kaedah pajakan 30 tahun supaya kontraktor boleh mendapatkan balik modal dikeluarkan, sebelum kerajaan mengambil alih semula pemilikan HSR.

“Saya akan berusaha melakukannya. Jika kekal dengan cadangan pertama, kosnya tidak akan meningkat begitu banyak. Namun kerana on-off-on-off, hari ini ia kos menajdi lebih mahal,” titah baginda yang merujuk kepada anggaran kos awal RM72 bilion HSR apabila projek itu mula diumumkan pada 2013.

Titah baginda, jaringan rangkaian HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura perlu dihubungkan dengan lintasan sempadan melalui Forest City iaitu pembangunan hartanah bermasalah di Johor.

Pada 8 Mac lalu, kerajaan Malaysia dilaporkan berkata, ia terbuka untuk menghidupkan semula HSR, tetapi tidak akan membiayai pembinaan projek itu.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kemampuan menerajui pentadbiran negara selepas setahun dilantik mentadbir kerajaan Pusat.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa baginda tidak nampak wujud masalah untuk bekerjasama dengan Anwar kerana mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri.

“Beliau kadangkala walaupun tengah malam hubungi saya, untuk minta nasihat,” titah baginda.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img