spot_img
spot_img

Kemaman : Kerajaan tidak akan disokong majoriti Melayu untuk tempoh ini

spot_img

Kemenangan calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, kelmarin dengan majoriti jauh lebih besar iaitu 37,220 undi berbanding 27,179 undi diperoleh calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setahun lalu, walaupun mahkamah telah memutuskan bahawa kemenangan lalu oleh PAS itu terbukti bersalah akibat rasuah; memberikan isyarat jelas dan kuat mengenai sikap majoriti orang Melayu di negara ini.

Peningkatan majoriti undi sebanyak 36.94 peratus diraih oleh Pas/Perikatan Nasional (PN) ini dalam keadaan peratus keluar mengundi 16.39 peratus lebih rendah menunjukkan orang Melayu tidak percaya kepada kerajaan walau apa pun kebaikan yang dilakukan kerajaan Madani. Pada masa yang sama, sikap orang Melayu juga menunjukkan bahawa mereka tidak peduli walaupun PAS terbukti merasuah, orang Melayu akan tetap memberi undi kepada parti Islam itu. Apa jua naratif kini, walaupun seburuk kluster mahkamah sekalipun kepada pemimpin PAS dan Bersatu, percayalah, kerajaan Madani tidak akan berjaya mengambil hati orang Melayu kembali buat masa yang panjang..

Pada PRU15, undi diperoleh calon Pas, Che Alias Hamid ialah 65,714 manakala calon BN, Datuk Seri Ahmad Said ialah 38,535. Calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin pula memperoleh 8,340 undi. Dalam PRK Kemaman kelmarin, Ahmad Samsuri memperoleh 64,998 undi manakala calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hanya 27,778 undi.

Maka banyaklah kajian-kajian oleh penganalisis politik yang memberi sebab berat sebelah kenapa orang Melayu majoritinya tidak memberi undi kepada UMNO BN. Persepsi ini sangat sukar untuk diubah dalam minda majoriti orang Melayu. UMNO BN harus menerima hakikat ini dan kerajaan Madani haruslah melupakan untuk menang di kawasan Melayu yang melebihi 80% dominasi penduduk untuk seketika jika tidak kuat bekerja ke arah itu.

- Advertisement -

Presiden UMNO

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO masih lagi dijadikan kambing hitam sejak PRU14 lalu. Percayalah walaupun beliau sudah tidak mempunyai kes di mahkamah, tetapi reputation damage yang telah dihamburkan kepada dirinya selama bertahun-tahun terus kekal dan mustahil untuk dipulihkan. Hanya sedikit dikalangan ahli UMNO yang menyanjungi jasa Zahid, di mana berjaya memberi nafas kepada parti itu untuk kembali semula di dalam kerajaan.

- Advertisement -

Sering dimainkan oleh politikus tempatan bahawa kononnya ramai ahli dan penyokong UMNO yang ditemui menyatakan sayang kepada UMNO, tetapi mereka tidak akan kembali mengundi UMNO selagi kedua-dua pemimpin ini masih menjadi ketua. Sebenarnya ini adalah suatu alasan untuk memastikan pemimpin mereka yang menggantikan tampuk pemerintahan UMNO. Golongan ini berharap figura yang pro kepada PN dan musuh kepada Zahid seperti Hishammudin, Khairy Jamaluddin, Ismail Sabri, Wee Ka Siong dan lain-lain akan membawa UMNO ke arah penyatuan parti politik Melayu secara total seperti zaman pemerintahan PN yang singkat 2021/2022 dahulu di mana rakyat telah melihat ianya gagal.

Malang bagi UMNO juga, kem yang menyokong Presiden tidak begitu agresif dan bermain selamat, takut dan tidak sepertimana mereka berjuang dengan lantang semasa pentadbiran PH1.0 dan PN dahulu. Jentera UMNO dilihat ‘lemau’, terlalu merendah diri dan kurang keyakinan.

DAP

DAP juga diperkudakan oleh majoriti orang Melayu yang kononnya penolakan mereka kepada UMNO BN adalah di atas kerjasama BN dan PH yang mana DAP dikatakan dominan. Kepada orang Melayu terutamanya yang berada di kampung, nama DAP adalah cukup ‘berhantu’ yang bila disebut mendatangkan rasa kemarahan. Ini adalah hasil kejayaan propaganda UMNO sendiri sejak merdeka. Mana mungkin boleh ubah fikiran itu dalam masa setahun.

Rasionalisasi diberikan bahawa Bersatu pernah bersama DAP, PAS pernah bersama DAP lebih lama, tidak diambil kira oleh orang Melayu. Mereka tetap akan menyalahkan UMNO BN dalam apa jua tindakan. Melayu Islam hanya ‘dikuasai’ PAS di era ini. UMNO BN harus sedar akan perkara ini dan syarat untuk dapat kembali pengundi Melayu adalah jelas, tinggalkan DAP atau orang Melayu tinggalkan UMNO, Zahid mesti meletakkan jawatan dan Presiden baru wajib bekerjasama dengan PN.

Rakyat yang tidak pernah puas hati sejak PRU14

Malaysia setelah berlaku fenomena kerajaan BN tumbang, yang merupakan kerajaan paling lama memerintah negara sejak merdeka, telah menimbulkan kesan buruk kepada negara untuk jangka masa pendek ini. Mungkin akan memberi kesan positif pada demokrasi negara di masa jangka panjang. Namun hakikatnya kini, rakyat boleh melihat sejak Tun Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri kali ke dua, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hinggalah ke Datuk Seri Ismail Sabri, semuanya mempunya rekod dan cemuhan buruk daripada rakyat dan kini mangsa seterusnya ialah PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sikap anti establishment menjadi semakin kuat di kalangan rakyat Malaysia hingga kurang untuk memikir secara kritikal seperti memberi tempoh masa yang cukup untuk sesebuah kerajaan baru untuk perform. Orang Melayu mahu instant success.

Ditambah lagi dengan undi18 yang sememangnya tidak akan memihak kepada mana-mana kerajaan. Orang muda pasti lebih mudah terpengaruh dengan pembangkang kerana lebih sensasi dan menarik di media sosial berbanding fakta dan keadaan sebenar informasi dari kerajaan yang memerintah. Sebab itu apabila mana-mana parti politik menjadi kerajaan, tindakan mereka tidak sama sepertimana ketika mereka pembangkang kerana apabila berada di dalam kerajaan, terdapat banyak perkara yang perlu dipertimbangkan berbanding hanya ‘main cakap lepas untuk sedap dengar’ sahaja semasa ceramah pembangkang.

Tiada kebijakkan politik

Kerajaan Madani harus sedar bahawa majoriti orang Melayu tidak akan terpengaruh kepada pembangunan, kemajuan dan kesenangan hidup di dunia yang fana ini, yang ingin dibina oleh kerajaan memerintah. Orang Melayu suka kepada luaran yang jelas dan straight forward terutama sekali apabila melambangkan Islam.

Tidak sama seperti masyarakat Cina yang bijak menggunakan kuasa politik mereka. Sebagai contoh semasa PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 dahulu di mana BN MCA membuat kejutan menang mengalahkan parti kerajaan iaitu DAP. Orang Cina bijak menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap prestasi kerajaan PH di bawah Tun Dr Mahathir dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, jadi mereka sebulat suara memberi undi kepada MCA. Mereka tahu ia tidak mampu mengubah apa-apa di pentadbiran kerajaan persekutuan ataupun negeri, namun mereka memberi isyarat jelas bahawa, jika kerajaan tidak berprestasi, mereka akan tukar.

Ini sesekali tidak akan berlaku kepada pengundi Melayu. Jika anda tidak melambangkan Islam yang suci, parti anda bekerjasama dengan DAP, walaupun anda mampu menstabilkan negara, anda tidak akan diberi undi atau masa untuk membuktikan keupayaan anda.

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk Anwar dan kerajaan perpaduan tidak lagi bersikap self-denial dan mengambil satu langkah drastik untuk mencari strategi baharu bagi mengekalkan kerajaan Madani. Ya memang mustahil untuk PN memerintah negara tanpa sokongan orang bukan Melayu (ahli parlimen) yang kini didominasi DAP kecualilah berlaku apabila semua parti Melayu dan Sabah Sarawak bergabung meninggalkan DAP, di mana ianya mustahil untuk berlaku berdasarkan pucuk pimpinan parti politik yang seteru dan ada cita-cita tersendiri antara satu sama lain.

Anwar mesti melakukan tindakan yang drastik seperti :

1) Mengenakan tindakan yang lebih ketat kepada propaganda fitnah dan memperkudakan agama di media sosial

2) Mengkaji semula undi18 kerana tahap pemikiran dan kematangan rakyat negara ini di usia tersebut tidak sama dengan pemikiran di Eropah atau negara maju lain. Ini boleh mengelak parti politik terutamnya di pihak pembangkang dari menjanjikan perkara-perkara populis yang tidak akan mampu dilaksanakan apabila memerintah.

3) Rombakan menteri yang tidak berprestasi. Rakyat mesti merasai kesan positif. Bukan sekadar pengunguman angka yang gah tetapi rakyat ingin membeli nasi campur berasa mahal !

4) Pilih pasukan propaganda yang lebih berkesan. Berikan peranan itu kepada UMNO untuk mereka mendekati orang Melayu.

5) Kurangkan publisiti kepada parti DAP dan kedepankan kepimpinan Melayu PKR, UMNO dan Sabah Sarawak.

6) Mendidik rakyat untuk menyedarkan mereka menggunakan kuasa undi hanya semasa pilihanraya, bukan mencipta ideologi untuk menumbang kerajaan. Utamakan negara bukan parti politik.

7) Tumpu di kawasan Melayu yang marginal dan mempunyai pola pengundian yang tidak taksub kepada sesebuah parti.

8) Bijak dan rancang banyak penempatan Melayu dominan di bandar-bandar baru. Apa guna ada kuasa jika tidak bangunkan ekonomi dan bandar orang Melayu. Ini akan memberi kelebihan kepada kerajaan berbanding pengundi Melayu luar bandar yang majoritinya akan memberi undi kepada PAS.

Kerajaan mempunyai empat tahun lagi dalam penggal ini. Ia merupakan suatu tempoh masa yang cukup untuk kembali menyinar di mata orang Melayu, jika tidak majoriti sekalipun, tetapi meningkat sokongannya.

 

 

Komentar editor Berita Tular menyayangi negara Malaysia dan tidak taksub kepada mana-mana parti politik.

 

 

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
2
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img