KUALA LUMPUR, 2 Dis — Datuk Seri Mohamad Sabu yakin dengan penguasaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan negeri di Sabah, Sarawak, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pada Pilihanraya Umum yang akan datang (PRU16)
Menurut Presiden Parti Amanah itu, negeri-negeri tersebut membentuk blok penting untuk kemenangan bagi mentadbir Malaysia.
Bagaimanapun, beliau juga menekankan betapa pentingnya mendapatkan kemenangan di negeri-negeri yang didominasi oleh orang Melayu, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kini dilihat bermajoriti sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) yang didominasi PAS.
Menteri pertanian dan keselamatan makanan itu memberi amaran sekiranya gabungan itu gagal mempengaruhi pengundi Melayu di negeri-negeri tersebut, kerajaan akan kekal tidak seimbang di Dewan Rakyat dan menyebabkan kerugian kepada orang Melayu.
“Pemerintahan di peringkat persekutuan tidak boleh dicapai dan akan terhalang sekiranya tidak dapat memenangi beberapa kerusi di negeri-negeri Melayu,” katanya lagi.
Kerajaan — yang terdiri daripada PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan sekutu lain — kini memegang majoriti terbesar dengan sokongan 152 daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, termasuk lima daripada PN.
Pada pilihan raya umum ke-15 lalu, BN hanya memenangi 30 kerusi daripada 191 yang ditandinginya — prestasi terburuk sejak penubuhannya.
Parti Amanah pula hanya memenangi lapan daripada 54.
Mohamad Sabu juga memuji jemaah menteri dari parti UMNO dengan berkata “Semua yang dilantik, saya lihat mereka mampu melaksanakan tugas, dan kami sentiasa mengadakan perbincangan dalaman”. UMNO juga dikatakan sebagai rakan kongsi yang memainkan peranan dengan berkesan di dalam kerajaan.
BN mempunyai tujuh menteri dalam pentadbiran Anwar, termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan presiden Umno dan pengerusi BN.
Namun katanya lagi, UMNO harus berusaha dengan lebih menyeluruh dalam berganding bahu dengan PH jika mereka ingin mempunyai peluang yang lebih baik dalam pilihan raya umum akan datang selepas menunjukkan prestasi suram tahun lepas.