BEIRUT: Klip video memaparkan seorang anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) meraikan ulang tahun kedua anak perempuannya dengan meletupkan sebuah rumah di Gaza tular di laman web dan media sosial sejak semalam.
“Saya mendedikasikan letupan ini kepada anak perempuan saya, Puteri Ayala pada hari lahirnya ketika dia mencecah dua tahun hari ini. Saya merindui awak,” kata tentera itu dalam bahasa Ibrani menerusi video berdurasi 43 saat yang dikongsi dan disiarkan beribu kali oleh pengguna Internet .
Saluran media bahasa Arab dan Inggeris melaporkan, anggota tentera itu mendapat kebenaran daripada IDF sebelum dia meletupkan rumah keluarga Palestin di Gaza.
Dalam video itu, beberapa anggota IDF lain dilihat mengelilingi tentera Israel itu semasa dia memberi arahan untuk meletupkan bangunan itu.
Semua tentera berkenaan memulakan kiraan detik dalam bahasa Ibrani dan apabila mereka mencapai sifar, letupan kuat kedengaran manakala video menunjukkan sebuah bangunan diletupkan.
Rakaman itu mencetus kecaman dan kritikan dalam talian kerana berlaku semasa perang berterusan antara IDF dan pasukan Hamas di Semenanjung Gaza.
“Sementara dunia yang tidak tahu malu melihat dengan tidak berdaya! Penjenayah!” kata pengguna laman X.
Sumber – AGENSI