spot_img
spot_img

Islam mewajibkan tutup aib diri dan orang lain

spot_img

“NANTI jika saya mengamuk di jalan raya seperti manusia hilang akal, saya minta jasa baik awak ambil gambar atau video saya itu kemudian sebar dalam media sosial. Saya rela dimalukan demi pengajaran untuk orang lain!”

Manusia waras dan berakhlak pasti tidak akan sanggup menyebut dialog ini, apatah lagi meminta agar
aib sendiri dicanang seluruh dunia. Jika semua Muslim yang tenggelam dalam ‘dunia plastik’ media sosial sedar tentang maruah orang lain seperti maruahnya sendiri, sudah pasti telefon pintar kita tidak lagi menjadi lubuk dosa tanpa sedar.

Masalahnya, sesetengah orang kita mazhabnya songsang. Buruk orang boleh disebar demi pengajaran, namun buruk sendiri disorok. Halal untuk orang, haram, bila terkena kepala sendiri.

- Advertisement -

Sikap ini bercanggah dengan kaedah ‘sayang semua’ diajar Nabi SAW melalui hadis bermaksud: Tidak sempurna iman kamu sehin alah kamu suka sesuatu kepada saudara kamu sama seperti apa yang kamu suka untuk diri kamu sendiri. (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Sebut sahaja sebar aib, sudut pandang kita sebagai Muslim yang ada kiblat hidup dengan agama perlu dibuka luas agar dosa berkongsi aib tidak terpalit pada kita. Ada dua aib perlu diawasi:

PERTAMA: Sebar atau kongsi aib sendiri. Fitrah manusia biasanya akan menutup buruk sendiri, namun ketagihan media sosial mampu merosakkan akal waras manusia. Demi sedikit pujian orang, ada yang ghairah berkongsi aurat sendiri dalam media sosial.

- Advertisement -

Tabiat ini sangat bahaya kerana anda tidak tahu siapa pemangsa dalam media sosial yang mungkin mengambil gambar dedah aurat anda untuk pelbagai manipulasi.

Tambahan pula segala teknologi moden melalui kecerdasan buatan (artificial intelligence) mampu melakukan pelbagai perkara luar biasa terhadap bahan kotor yang anda kongsi sehingga ia menjadi mimpi ngeri menghantui kita kemudian hari.

Nabi SAW pernah tersentak melihat seorang lelaki mandi bogel di tempat
terbuka. Baginda lantas tegas menegur dengan sabdanya bermaksud: Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu, lagi Maha menutup keburukan (hambaNya). Dia sukakan sifat malu dan menutup aib (pada hamba-Nya). Apabila kalian mandi, maka hendaklah dia berselindung (atau menutup auratnya). (Sunan Abu Daud, 3497)

Peristiwa teguran nabi boleh berhenti setakat itu sahaja kerana zaman itu belum ada alat khas untuk merakam aksi tidak senonoh tersebut. Bayangkan zaman ini? Semua yang dibuat boleh
dirakam dan disimpan secara kekal.

Dengan itu, aib dan dosa dedah aurat itu juga boleh kekal lama. Mohon dijauhkan Allah daripada ditimpa bencana dosa kekal sebegini.

Ada juga sesetengah pihak yang suka berkongsi sifat celupar, kasar, lucah, bodoh dan kurang bijak melalui media sosial dengan tujuan agar diri dilihat hebat atau melucukan. Pun begitu, sebaliknya pula yang berlaku.

Kesannya dia dibenci, diperlekah dan ditertawa ramai atas tindakan itu. Ini juga wajib dielakkan kerana maruah diri adalah mahkota yang perlu dijaga.

KEDUA: Sebar atau kongsi aib orang lain. Banyak faktor mendorong sikap ini, antaranya keghairahan mencari buruk pihak yang berbeza haluan politik atau aliran pemikiran. Bahan buruk pihak lawan
dianggap bonus yang mampu menjatuhkan mereka.

Biar mereka jatuh terperuk ke dalam lembah hina dan malu paling dalam. Janganlah ghairah berkongsi aib orang kerana kita juga tidak sempurna.

Boleh jadi dosa itu akan terjungkir balik menimpa kita suatu hari nanti kerana hidup ini bak roda.
Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran). (ali-‘Imran: 140)

Nabi SAW juga memberi amaran keras tentang kitaran ini yang bermaksud: Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat. Sesiapa yang mendedahkan aib saudara muslimnya, Allah akan mendedahkan aibnya sehingga dia akan terhina di
rumahnya sendiri. (Sunan Ibn Majah, 2536).

Jika kita tak mahu diri diaib atau ditelanjangkan di khalayak umum, usahlah galak berkongsi aib orang lain atas nama tazkirah atau konten media sosial.

Saya pernah singgah minum di sebuah restoran di Gombak, yang dihias dengan konsep klasik tahun 1970-
80an.

Suasana restoran itu dipenuhi lagu klasik zaman itu. Apa yang mengejutkan penulis, hiasan pada dinding
restoran dipenuhi dengan gambar artis zaman itu yang rata-ratanya mendedahkan aurat, sedangkan kebanyakan artis wanita itu sudah berhijrah dan menutup aurat di usia tua mereka.

Ini antara satu contoh kongsi aib yang perlu dielak. Penulis cuba menegur pemilik restoran tersebut
tetapi keadaan tidak mengizinkan.

Kesimpulannya, aib orang haram dikongsi kerana ia termasuk dosa besar yang dilarang Nabi SAW sebagaimana hadis di atas. Dalam dunia media sosial yang penuh mencabar sekarang, kita perlu
melengkapkan diri dengan ilmu, iman dan takwa agar tidak terpalit dengan dosa murahan ini.

Banyak kelebihan menutup aib orang, antaranya Allah akan menjaga aib kita di dunia dan akhirat.

Sila hadam hadis ini agar kita mampu segera menekan brek apabila berasa mahu berkongsi aib orang yang
masuk menderu dalam telefon pintar kita. Nabi SAW menceritakan peristiwa akhirat yang bermaksud: (Pada hari kiamat) Allah mendekati hamba-Nya yang beriman, lalu dirahmati dan ditutup aibnya. Allah
berfirrman (kepadanya): “Adakah kamu tahu dosa itu dan ini?” Orang beriman itu berkata: Aku mengakui
wahai Tuhanku.” Setelah melihat dosanya, orang beriman ini berasa dirinya akan musnah (dalam malu).

Allah berfirman: “Aku sudah menutupnya (dari pengetahuan manusia) semasa di dunia (dahulu), dan Aku sudah mengampunkan dosa itu pada hari ini.” Kemudian diberikan kepadanya rekod amalan baiknya. (Sahih al-Bukhari, 2261).

Marilah kita tutup aib orang dan amalkan doa ini agar kita sentiasa selamat dunia akhirat bermaksud: Ya Allah! Tutuplah aibku, hilangkan ketakutanku, jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri dan
atasku. (Sunan Abu Daud, 4412 & Sunan Ibn Majah, 3861).

 

  • Oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim

-Penulis ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang disiarkan di Utusan Malaysia

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img