KUALA LUMPUR: Isu simpanan para pencarum yang tidak mencukupi di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada pada tahap kritikal, dengan 6.3 juta ahli berumur bawah 55 tahun, atau 48 peratus, mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka setakat 30 September tahun ini, menruut data Kementerian Kewangan (MOF – Ministry of Finance) yang disiarkan disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
MOF berkata angka itu meningkat daripada 4.7 juta ahli (37 peratus) yang dicatatkan pada April 2020, sebelum kebenaran pengeluaran khas oleh kerajaan semasa wabak Covid-19.
“Dengan simpanan kurang RM10,000, ahli dijangka mempunyai pendapatan persaraan kurang RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun.
“Pengeluaran tambahan daripada Akaun 1 juga mempunyai kesan jangka panjang iaitu pengurangan ketara dalam simpanan persaraan dalam kalangan ahli KWSP,” kata laporan MOF bagi memberi jawapan bertulis yang dibangkitkan oleh Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai inisiatif kerajaan menangani isu itu.
Kementerian itu berkata, isu itu dipandang serius apatah lagi memandangkan negara sedang berdepan dengan penduduk yang semakin meningkat usia yang dijangka memberi kesan besar kepada negara dan rakyat dari segi ekonomi, produktiviti, kebajikan sosial, kualiti hidup dan kesihatan.