KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kekecewaan beliau dengan resolusi Sidang Kemuncak Negara-negara Arab-Islam pada 11 November lepas yang gagal mencadangkan langkah konkrit atau strategik untuk mendesak Israel dan sekutu Baratnya menghentikan kekejaman terhadap Palestin.
Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, dalam tempoh sebulan yang lalu juga, dunia menyaksikan rakyat Palestin, khususnya doktor dan jururawat, enggan meninggalkan hospital dan berlindung di tempat yang selamat, tetapi lebih rela membantu merawat yang tercedera, biarpun nyawa mereka sendiri dalam bahaya.
Tegasnya, dunia turut menyaksikan pemimpin Islam dan Arab yang dilucutkan maruah kerana Israel, AS dan sekutu Barat yang terus ‘mengejek’ negara berkenaan.
“Di sebalik kekayaan yang boleh digunakan untuk mendesak negara Barat mengenakan sekatan terhadap Israel ekoran kekejamannya terhadap Palestin, pemimpin Arab dan Muslim hanya sekadar merayu kepada Israel untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai.
“Mereka langsung tidak menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar tentera pengaman.
“Saya sedar sebahagian daripada pemimpin ini sudah berasa mual dan mahu persidangan Arab dan Islam mengambil tindakan yang lebih drastik dan konkrit terhadap Israel.
“Malangnya yang lain lebih cenderung mengambil jalan selamat, supaya tiada konsensus tercapai selain rayuan diplomatik yang tidak bermakna,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian semasa berucap secara dalam talian di sesi Webinar: A Critical Discussion on the International Community’s Approach to Gaza’s Genocide, anjuran Pertubuhan Arab bagi Hak Asasi (AOHR).
Beliau berkata, dunia yang simpati dengan Palestin, tidak perlu memperbodohkan diri sendiri, kerana segala kenyataan keras, desakan dan kecaman terhadap Israel dan sekutu Baratnya, terutama sekali Amerika Syarikat, tidak akan diendahkan mereka sama sekali.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, pada usia 98 tahun, beliau telah menyaksikan fasa perubahan dunia, termasuk kekejaman dan kemusnahan akibat tindakan penjajah, kesombongan mereka, serta sikap hipokrit negara berkuasa.
Tegasnya, kesombongan dan kebiadaban Israel, serta sikap tidak mempedulikan hak nilai kemanusiaan, melebihi kejahatan penjajah yang lampau.
“Jika hari ini kita menyedari bahawa untuk pemimpin ini, kehidupan orang Palestin tiada nilainya, ia sama seperti kehidupan rakyat Iraq, Afghanistan, Vietnam, Jepun, Korea, Afrika, Ireland, Melayu, India, Orang Asli, juga tiada nilai kepada mereka.
“Dahulu, sewaktu meluaskan penguasaan imperialistik, mereka melabelkan pejuang kemerdekaan dengan pejoratif yang saya pasti kita semua sudah biasa dengannya, orang gasar, pemberontak, biadab, tidak bertamadun, kafir, degil serta sudah tentu pengganas.
“Seperti pada masa lalu, semua pelabelan ini hanyalah fasad untuk mengalihkan perhatian seluruh dunia daripada apa yang sebenarnya berlaku, pengembangan imperialisme,” katanya.
Dr Mahathir berkata, semua pihak harus bertegas menzahirkan sokongan terhadap rakyat Palestin dan tidak berselindung dengan perkataan dalam mengatakan, Israel adalah kuasa penjajah yang membuat pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, bangsa yang dijajah.
“Israel sedang bersubahat untuk melaksanakan kemusnahan oleh kuasa Barat, yang tangan mereka berlumuran darah, seperti mana tangan Israel yang berlumuran dengan darah kanak-kanak dan bayi Palestin,” katanya.
Sumber – Awani