KEMAMAN: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri yang dipilih sebagai calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman dianggap mempunyai kelebihan besar untuk memenangi PRK pada 2 Disember depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang dan Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau mempunyai kelebihan banyak sebagai ahli parlimen kepada rakyat Terengganu sekiranya dipilih.
Untuk rekod pada pada penggal ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga merupakan dalam kalangan Ahli Parlimen.
Tanggungjawab dan peranan sebagai seorang Menteri Besar di Parlimen pasti akan memberi kelebihan kepada beliau untuk memainkan peranan yang lebih penting buat Terengganu.
Beliau diumumkan sebagai calon Pas pada Majlis Pengisytiharan Calon Pas PRK Parlimen Kemaman di sini, malam tadi. Rekod dan latarbelakang professional yang cemerlang dilihat sebagai satu aset kepada Perikatan Nasional (PN), khususnya PAS di peringkat persekutuan.
“Kita akan bercakap permasalahan di Kemaman ke peringkat nasional dan sebagai Menteri Besar bukan sekadar Kemaman, saya boleh membawa isu-isu berkaitan seluruh Negeri Terengganu, jadi tentulah peranan besar yang boleh dimainkan dan sangat memberi manfaat kepada rakyat, paling penting ianya dapat memberikan lebih nilai tambah kepada rakyat,” ujarnya yang ditemui pemberita selepas majlis itu.
Dalam pada itu, Menteri Besar itu memberitahu, beliau menghormati calon yang bertanding dalam PRK Parlimen ini termasuk daripada calon Bebas.
Menurutnya, jentera Pas juga tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuan setiap calon yang bertanding nanti.
Sementara itu, pada 13 November lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon BN bertanding di Parlimen Kemaman.
(Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor – berjaket hitam)
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas kerana unsur rasuah, Che Alias Hamid pada 26 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi setelah meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru menyaksikan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi).
PRK kali ini juga dijangka akan dimenangi PN berdasarkan pola penduduk yang bermajoriti kaum Melayu. Namun gabungan kerajaan perpaduan dilihat akan meningkat dari segi jumlah sokongan undi kerana PH dan BN akan bergabung dalam satu undi.
Para penganalisis politik menggambarkan bahawa PRK Kemaman akan menunjukkan ukuran tahap penerimaan orang Melayu kepada Kerajaan Perpaduan.