Shah Alam, 16 Nov — Bekas ahli parlimen Kuala Pilah Datuk Eddin Syazlee Shith menggesa perubahan pucuk pimpinan tertinggi Bersatu, menjelang perhimpunan agungnya di Shah Alam, Selangor pada minggu depan.
Mendakwa “tiada visi dan arah tuju” di pihak pembangkang yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Eddin menggesa perubahan itu berlaku sebelum pilihan raya umum ke-16 yang dijangka menjelang 2027, dipetik daripada portal berita Free Malaysia Today pagi ini.
Eddin memberi cadangan bahawa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mampu menerajui pakatan pembangkang.
“Tetapi perlu ada aturan jika kita mahu memulakan perubahan. Ia tidak bermakna setiausaha agung perlu menggantikan presiden, tetapi mesti ada formula,” Eddin, yang juga merupakan ahli majlis tertinggi Bersatu.
Setiausaha Agung Bersatu ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga ketua Pembangkang di Parlimen, yang sepatutnya disandang oleh Pengerusi parti-parti pembangkang — dalam kes ini, Muhyiddin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) gabungan pembangkang, di mana Bersatu adalah salah satu parti komponennya.
(Datuk Seri Hamzah Zainuddin)
Menurut portal berita itu, Eddin tidak menamakan pemimpin Bersatu yang sepatutnya diganti, atau menghuraikan masalah bahagian dalaman parti yang memerlukan “penambahbaikan” tetapi menyebut sebab-sebab empat Ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini yang menukar sokongan mereka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sejak bulan lepas, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim, dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik telah mengisytiharkan sokongan mereka terhadap Anwar.
Seorang lagi ahli parlimen Bersatu dijangka memberi sokongan kepada Anwar iaitu ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang mahukan peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk kawasannya.
(Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal)
“Jika kita hanya memikirkan diri sendiri… kita akan gagal melihat kelemahan kita tetapi ia akan dipamerkan untuk dilihat oleh semua orang di sekeliling kita. Kita kena terima realiti itu,” kata Eddin.
Bekas Ketua PN Negeri Sembilan itu seterusnya menyatakan bahawa pucuk pimpinan parti perlu menggunakan perhimpunan agungnya minggu depan untuk mendengar dan menjawab kebimbangan yang disuarakan oleh ahli akar umbi.
Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung tahunannya di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam dari 23 hingga 25 November ini.