KUALA LUMPUR, 26 Okt — Seorang pengarah syarikat mengalami kerugian berjumlah RM7.1 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto pada Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yusoof berkata, mangsa berusia 52 tahun itu ditipu selepas menyertai kelas berkaitan pasaran saham dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau berkata mangsa kemudiannya dinasihatkan untuk menceburi pelaburan mata wang kripto menggunakan platform “Yoamex” dan membuka akaun pada Julai untuk melabur RM7.1 juta.
Bercakap pada sidang media JSJK hari ini, beliau berkata laman web pelaburan itu menunjukkan akaun mangsa menjana keuntungan sehingga USD13.7 juta (RM65.58 juta).
“(Bagaimanapun) Mangsa kemudian dimaklumkan pelaburan itu tidak boleh ditarik balik kerana terdapat siasatan berterusan di bawah pengubahan wang haram dan sebaliknya diminta membayar lima peratus lagi,” katanya.
Sementara itu, polis turut menerima kes membabitkan skim pelaburan mata wang kripto dengan seorang pesara tentera berusia 75 tahun kerugian RM2.75 juta menerusi iklan crypto di Facebook pada Mei.
Dalam kes lain, seorang usahawan berusia 19 tahun kerugian RM1.43 juta kepada pelaburan yang diiklankan menerusi Instagram pada 17 Oktober lalu.
Sumber — Bernama