RIYADH: Syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco komited untuk memperluas fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor, supaya menjadi hab terbesar di Asia Tenggara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perluasan fasiliti tersebut adalah dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia dan gas.
Katanya, perkara itu telah dinyatakan oleh kepimpinan syarikat itu pada sesi perbincangan bersamanya di Hotel Ritz-Carlton, Riyadh semalam.
Lapor Bernama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut bertemu Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr. Majid Abdullah Alkassabi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin H. Nasser untuk berbincang lebih lanjut mengenai rancangan pelaburan syarikat itu.
Sebelum ini, Saudi Aramco telah menyuarakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di rantau Asia Tenggara.
Fortune Global 500 pada 2021 menyenaraikan Saudi Aramco di tempat keenam teratas sebagai syarikat paling untung di dunia, dengan perolehan berjumlah AS$105 bilion (AS$1=RM4.77).