MILAN (14 Okt): Ferrari telah mula menerima pembayaran dalam mata wang kripto daripada pelanggannya di AS dan akan melebarkan kaedah pembayaran itu ke Eropah, berikutan permintaan daripada pelanggan super rich mereka, kata ketua pemasaran dan komersial Ferarri yang dipetik daripada Reuters.
Sebilangan besar syarikat mewah mengelak daripada menggunakan kripto sebagai medium jual beli, kerana ketidaktentuan bitcoin dan token lain menjadikan mereka tidak praktikal untuk perdagangan. Kawal selia dan penggunaan tenaga yang tinggi juga telah menghalang pengembangan kripto sebagai cara pembayaran.
Sebagai contoh pembuat kereta elektrik Tesla, yang pada 2021 mula menerima pembayaran dalam bitcoin, syiling crypto terbesar, sebelum CEO Elon Musk menghentikannya kerana kebimbangan alam sekitar.
Ketua pegawai pemasaran dan komersial Ferrari, Enrico Galliera memberitahu bahawa mata wang kripto telah berusaha untuk mengurangkan jejak karbon mereka melalui pengenalan perisian baharu dan penggunaan sumber boleh diperbaharui yang lebih besar.
“Sasaran kami untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2030, di sepanjang rantaian pengeluaran kami, benar-benar disahkan,” katanya dalam satu temu bual.
Ferrari berkata keputusan itu dibuat sebagai tindak balas kepada permintaan daripada pasaran dan peniaga kerana ramai pelanggannya telah melabur dalam kripto.
“Sesetengahnya adalah pelabur muda yang telah membina kekayaan mereka di sekitar mata wang kripto,” katanya.
“Sesetengah yang lain adalah pelabur yang lebih tradisional, yang ingin mempelbagaikan portfolio mereka.”
Walaupun sesetengah mata wang kripto, seperti yang kedua terbesar, iaitu eter, telah meningkatkan kecekapan tenaga mereka, bitcoin masih menarik kritikan kerana perlombongan intensif tenaganya.
Ferrari menghantar lebih 1,800 kereta ke rantau Amerika, termasuk AS, pada separuh pertama tahun ini.
Galliera tidak menyatakan berapa banyak kereta yang dijangka dijual oleh Ferrari melalui crypto. Beliau berkata portfolio pesanan syarikat itu kukuh dan ditempah sepenuhnya sehingga tahun 2025, tetapi syarikat itu mahu menguji kaedah pembayaran terkini yang semakin berkembang ini.
“Ini akan membantu kami berhubung dengan orang yang tidak semestinya pelanggan kami (orang baru) tetapi mungkin membeli Ferrari,” katanya.
Syarikat Itali itu, yang menjual 13,200 kereta pada 2022, dengan harga bermula lebih 200,000 euro (AS$211,000 atau RM1juta tanpa cukai) dan ada berharga sehingga dua juta euro, merancang untuk melanjutkan skim crypto ke Eropah menjelang suku pertama tahun depan dan kemudian ke kawasan lain di mana kripto diterima secara sah.
Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) ialah rantau terbesar Ferrari, menyumbang 46% daripada jumlah penghantaran keretanya pada separuh pertama tahun ini.
“Minat adalah sama di AS dan Eropah, kami tidak melihat perbezaan yang besar,” kata Galliera.
Ferrari telah beralih kepada salah satu pemproses pembayaran mata wang kripto terbesar, BitPay, untuk fasa awal di AS, dan akan membenarkan transaksi dalam bitcoin, eter dan USDC, salah satu daripada stablecoin yang terbesar.
Ferrari mungkin menggunakan pemproses pembayaran lain di wilayah yang berbeza.
“Harga tidak akan berubah, tiada yuran, tiada surcaj jika anda membayar melalui mata wang kripto,” kata Galliera.
Bitpay akan segera menukar pembayaran mata wang kripto menjadi mata wang tradisional bagi pihak peniaga Ferrari, supaya mereka dilindungi daripada perubahan harga.
“Ini adalah salah satu matlamat utama kami: mengelakkan risiko, bagi Ferrari dan pelanggan, untuk mengendalikan secara langsung mata wang kripto dan dilindungi daripada turun naik yang tidak menentu,” kata Galliera.
Sebagai pemproses pembayaran, BitPay akan memastikan bahawa mata wang maya datang daripada sumber yang sah dan tidak diperoleh daripada aktiviti jenayah atau untuk digunakan untuk mencuci hasil jenayah atau mengelak cukai.
Ketua pemasaran dan komersial Ferrari berkata bahawa majoriti pengedar Ferrari sah diAS telah mendaftar, atau akan bersetuju, dengan skim itu.
“Saya yakin lebih banyak pengedar akan menyertai tidak lama lagi,” kata Galliera.