KANGAR: Bil elektrik bulanan sekitar RM170 atau RM230 mampu dijimatkan kepada RM2 sehingga RM27 sahaja melalui pemasangan panel solar di kediaman sekali gus menunjukkan penjimatan sebanyak 90 peratus.
Penjimatan berkenaan membabitkan penggunaan sistem solar PV (fotovoltaik) dengan kapasiti 4.5 kilowatt peak (kWp).
Pemasangan panel solar berkenaan bagi 4.5 kWp itu adalah sekitar RM21,199 dengan manfaat akan dinikmati dalam jangka masa panjang sehingga 20 ke 30 tahun dengan penjimatan bil elektrik pada setiap bulan.
Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah dan Perlis, Wan Ishak Soed berkata, inisiatif solar tersebut merupakan antara alternatif bagi penggunaan tenaga boleh baharu ke arah menjamin kelestarian alam.
Katanya, semakin besar kapasiti solar daripada segi kWP yang digunakan, maka pengguna akan menikmati lebih banyak penjimatan.
“Tenaga yang dijana oleh solar PV adalah berbeza berdasarkan cuaca, kapasiti sistem dan faktor sekeliling seperti teduhan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lalu turut melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) ke arah memastikan negara mencapai keselamatan tenaga mapan.
Selain itu, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan oleh kerajaan sebagai dana asas bagi menggerakkan Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional.
Mengulas lanjut, Wan Ishak berkata, dalam konteks Perlis, penggunaan solar bumbung terutama di kawasan perumahan dan di bawah kategori domestik setakat ini masih berada pada paras bawah 10 peratus.
“TNB mengharapkan agar pengguna domestik khususnya di Kedah dan Perlis dapat meneroka penggunaan solar bumbung ini kerana dua negeri ini merupakan kawasan titik panas dan amat sesuai sekiranya beralih daripada tenaga konvesional kepada solar,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ishak berkata, menerusi peralihan tenaga ini, TNB juga mensasarkan pengurangan penjanaan arang batu kepada 50 peratus dan melebihkan penggunaan tenaga boleh baharu.
Berikutan itu, beliau berkata, TNB menerusi anak syarikatnya, G-Sparx kini sedang bergiat aktif bagi menjadi ‘game changer’ dalam kelestarian alam sekitar terutamanya menerusi proses peralihan tenaga ini.
“Aspirasi TNB adalah bagi mencapai pelepasan sifar bersih (net zero emissions) menjelang 2050 sebagai langkah ke arah dekarbonisasi dan tenaga boleh baharu,” katanya.