KUALA LUMPUR, 4 Sept — Menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, bersama peguam Mansoor Saat, masih belum ditemui, lapor Utusan Malaysia hari ini.
Menurut sumber yang tidak dinamakan, Muhammad Adlan sebelum ini dipercayai berada di New Zealand, dan Australia, Dubai, dan Emiriah Arab Bersatu sebelum itu.
“Sekarang, saya tidak pasti di mana dia berada,” sumber itu dipetik sebagai berkata kepada akhbar harian itu.
Muhammad Adlan dan Mansoor dicari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah.
Kedua-dua lelaki itu berkata mereka berada di luar negara atas urusan perniagaan dan telah menafikan bahawa mereka sedang melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyeru kedua-dua lelaki itu untuk pulang, mematuhi undang-undang dan bekerjasama dengan suruhanjaya itu.
Bulan lalu, Mansoor telah mengeluarkan kenyataan menafikan beliau adalah seorang pelarian, seperti yang didakwa SPRM kepada media.
Mansoor, yang merupakan seorang pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS), mendakwa beliau telah bekerjasama dengan SPRM dan pegawai suruhanjaya itu mengetahui di mana dia berada.
Seorang lagi, menantu Muhyiddin, Muhammad Adlan turut menafikan beliau sedang melarikan diri daripada pihak berkuasa.
Ahli perniagaan itu berkata bahawa dia tidak pernah ditangkap atau dihubungi oleh SPRM selepas dilaporkan bahawa dia didakwa melarikan diri ke luar negara dan kini berada dalam senarai dikehendaki SPRM.
Semakan mendapati Muhammad Adlan dan Mansoor meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei. Tiada rekod kepulangan mereka ke tanah air hingga kini.
Pada 25 Ogos, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain telah mengatakan suspek berdua telah tersenarai dalam Senarai Merah orang dikehendaki Interpol (polis antarabangsa).