spot_img
spot_img

Orang sudah ke bulan, kita masih berpolitik yang tidak berkesudahan

spot_img

Perikatan Nasional (PN) perlu mempunyai halatuju jangka masa panjang untuk survival parti mereka. Terutama sekali bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang jelas dilihat menumpang kekuatan PAS. Peranan dan pengaruh mereka semakin mengecil juga tidak mempunyai ‘based state‘ sebagai bukti tapak politik negara.

Bersatu dilihat hanya berusaha untuk jangka masa pendek untuk pemimpin atasannya kembali berkuasa dengan menukar kerajaan. Itulah naratif yang sering kali dimainkan oleh Bersatu dan gabungan PN, termasuk di PRK Pulai sekarang.

Hadi Awang mengulangi sekali lagi bahawa penukaran kerajaan pusat boleh berlaku jika PN menang di Parlimen Pulai. Whatsapp viral dari gabungan itu juga tersebar di kalangan pengundi Pulai kononnya kerajaan Anwar kini tidak mempunyai sokongan majoriti di parlimen.

- Advertisement -

Tetapi nampaknya pendekatan PN itu tidak disenangi oleh raja-raja Melayu. Sultan Johor telah bertitah untuk memberi peluang kepada kerajaan perpaduan untuk terus memperbaiki keadaan negera serta menggesa rakyat negeri itu menyokongnya.

Begitu juga dengan titah Sultan Selangor, ketika upacara angkat sumpah Menteri Besar negeri itu dan 10 Exco Selasa lalu, boleh dikatakan merupakan suatu teguran untuk keadaan di Malaysia keseluruhannya.

Antara titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melekat di minda ialah baginda memohon semua pihak berhenti berpolitik kerana rakyat dan baginda sendiri sudah penat dan mahukan semua kaum hidup bersatu semula. Realiti politik Malaysia ketika ini, orang politik masih terus berpolitik biarpun PRU15 dan PRN di enam negeri sudah tamat.

- Advertisement -

Tindak tanduk puak-puak yang tidak penat menjaja isu politik jelas lagi nyata membabitkan kumpulan yang kemaruk kuasa. Sehingga cita-cita mereka tercapai dijangkakan sampai bila-bila rakyat akan disumbat dengan isu-isu yang terus dicipta. Sepatutnya selepas PRN 12 Ogos lalu, semua parti sudah berlapang dada menerima keputusan pengundi dan kembali fokus untuk menguruskan isu rakyat dan memajukan negara.

Namun ia tidak berlaku malah adakala menjadi-jadi apabila permainan politik tersebut semakin tidak bertempat sehingga tahap menggusarkan. Kini, suhu politik mulai panas lagi menjelang PRK di DUN Pelangai, Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Ura-ura Kerajaan Perpaduan bakal runtuh dan kempen-kempen di tiga PRK terus dimainkan referendum rakyat kepada Kerajaan Perpaduan.

Begitu juga cubaan Kelantan mahu menggunakan tema sambutan Hari Kebangsaan berbeza dengan Pusat walaupun, kontroversi itu ditamatkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, namun ura-ura tersebut tidak sihat.

Kelantan walaupun dipimpin Pas namun negeri tersebut masih dalam Malaysia dan Pusat masih mempunyai tanggung jawab ke atas negeri itu berasaskan konsep fe­deralisme seperti di ulang laung Pas.

Begitu juga dengan kenyataan MB Kelantan, Datuk Nassaruddin Daud yang memberi bayangan seolah-olah ADUN Galas dan ADUN Kota Lama sebagai menentang perjuangan Islam. Ada yang mempersoalkan, Pas adalah parti politik dan bukan agama, jadi sangat tidak relevan untuk memberi contoh sebegitu lebih-lebih lagi Nassaruddin sepatutnya lebih arif membezakan yang mana parti dan yang mana agama.

Beberapa tindak-tanduk yang menyebabkan pergeseran antara Pusat dan negeri sebegini akan membawa kepada pertelagahan politik berterusan manakala rakyat yang penat menjadi keliru.

Justeru, titah Sultan Selangor dan Johor patut dijadi panduan bukan sahaja di Selangor tetapi semua negeri kerana kemelut politik ini merebak di semua negeri.

PN perlu membina gabungan yang masih muda itu supaya mempunyai visi dan idea untuk membangunkan negara. Mereka perlu menjadikan cita-cita yang keterlaluan untuk pemimpin mereka kembali ke Putrajaya sebagai bukan objektif utama. Pembangkang sebelum ini seperti Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membawa agenda menumbangkan kerajaan sebelum PRU.

PN terutamanya Bersatu perlu membina akar umbinya bagi melahirkan pemimpin sebenar dari partinya sendiri untuk kekuatan parti itu di PRU akan datang, sebagaimana PKR membina pemimpin-pemimpinnya hampir 20 tahun. PN tidak boleh dilihat hanya menjadi parti yang merosakkan demokrasi di Malaysia dengan agenda-agenda merampas kuasa.

Sedarlah segera wahai semua orang politik di mana anda sepatutnya move on dan bukalah minda masing-masing menyaksikan bagaimana India kini sedang berbangga dengan pendaratan Chandrayaan-3 di kutub selatan Bulan pada Rabu lalu.

India kini sudah dalam liga Amerika Syarikat, China dan Russia berjaya melakukan pendaratan di Bulan. Malaysia jangan mahu merancang misi ke Bulan tetapi mungkin ramai dalam kalangan kita tidak dapat bayangkan di manakah Bulan itu berada.

 

 

Pandangan editor tidak melambangkan pendirian Berita Tular

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img