JOHOR BARU, 24 Ogos ― Seramai 3,500 anggota polis akan ditempatkan pada hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram di Muar Sabtu ini (26 Ogos).
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata 2,500 pegawai dan anggota akan ditempatkan di pusat penamaan calon PRK Pulai dan kawasan sekitar, manakala selebihnya di Simpang Jeram.
“Semua pegawai dan anggota ini termasuk yang menaiki kereta peronda akan ditugaskan ke pusat penamaan calon dan kawasan sekitar bagi memantau dan menjaga keselamatan bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pada masa sama, Kamarul Zaman menasihati calon dan penyokong parti politik supaya mematuhi segala arahan dan peraturan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses penamaan calon.
Beliau turut mengingatkan calon dan penyokong agar tidak menimbulkan sebarang provokasi dan menghormati antara satu sama lain.
Sementara itu, beliau berkata 927 anggota polis akan mengundi awal pada PRK Parlimen Pulai, namun tiada seorang pun terlibat dalam pengundian awal pada PRK Simpang Jeram.
Pengundian adalah pada 9 September dan pengundian awal pada 5 September untuk kedua-duanya melalui pilihan raya.
Sumber ― Bernama