KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan kos operasi menjadi cabaran utama kepada syarikat berasaskan teknologi tempatan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi tempoh 2023 sehingga 2024.
Dipetik temuramah daripada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Perniagaan Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), Marazizi Omar berkata, situasi berkenaan turut memberi kesan kepada syarikat pemula teknologi memandangkan mereka tidak mempunyai modal yang mencukupi serta kekurangan pengalaman di dalam perniagaan.
Menurut Marazizi, umum mengetahui kenaikan kos operasi PMKS semakin bertambah, namun ramai tidak menyedari bahawa apa yang ditakutkan golongan usahawan adalah ketidakpastian kos disebabkan turun naik harga.
“Apa yang mencabar bagi usahawan teknologi adalah kos tidak pasti di mana mereka tidak tahu sama ada bulan akan datang kos turun atau naik dan ini sudah pastinya memberi cabaran kepada mereka dalam menguruskan perbelanjaan.
“Apa yang saya, lihat turun naik kos ini terjadi selepas Covid-19 serta peperangan antara Rusia dan Ukraine yang masih berjalan,” katanya ketika ditemui di pejabat MDV di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perubahan teknologi yang berlaku secara mendadak turut memberi cabaran kepada usahawan teknologi tempatan memandangkan ia turut mengubah tingkah laku pelanggan.
“Perubahan teknologi ini bukan sekadar berkisar dengan teknologi itu sendiri tetapi juga pengguna turut berubah dan setiap usahawan perlu tahu bagaimana untuk mengatasinya.
“Selain itu, polisi kerajaan juga memberi cabaran kepada usahawan teknologi memandangkan mereka tidak tahu secepat mana kerajaan akan keluarkan polisi itu dan secepat mana ia boleh dilaksanakan,” katanya.
Ujar beliau, menyedari cabaran yang dihadapi PMKS dalam sektor teknologi, MDV tampil dengan menjalinkan kerjasama rapat dengan pemain-pemain industri dan agensi-agensi kerajaan yang lain bagi membantu golongan terbabit.
Katanya, MDV turut menawarkan pembiayaan fleksibel serta kadar pinjaman yang berpatutan kepada mereka yang layak tanpa memberi sebarang tekanan dengan konsep ke arah kawalan daripada cagaran.
“MDV mengeluarkan skim pinjaman atau pembiayaan yang tidak berlandaskan terus kepada soal keselamatan dan jumlah wang di mana kita menggunakan ukuran yang sesuai dengan situasi semasa bagi membantu usahawan.
“Kita memang fleksibel dan kelulusan juga tidak sama seperti bank memandangkan kita selaraskannya dengan keperluan pasaran industri dengan kemudahan pinjaman,” katanya.
Marazizi berkata, sehingga tahun kewangan 2022, MDV telah menyalurkan pembiayaan bernilai lebih RM12 bilion kepada lebih 1,000 syarikat berteknologi tinggi di mana 56.95 peratus merupakan syarikat bumiputera dengan lebih 80 peratus adalah PMKS.
“Kita juga telah menyalurkan RM166.9 juta pembiayaan kepada 27 buah syarikat dan projek berkaitan teknologi pada tahun lalu dan berharap jumlah itu akan terus bertambah tahun ini dan tahun-tahun akan datang.
“Bagi tahun 2023, MDV bertekad untuk terus bekerja keras untuk memperkasakan peranan kami di dalam pembiayaan syarikat-syarikat berasaskan teknologi terutamanya PMKS dan pemula Bumiputera sebagai usaha menyokong kerajaan memulihkan kemajuan ekonomi negara,” katanya.