KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
SPRM berkata, suruhanjaya itu cuba menghubungi dua lelaki terbabit yang juga seorang ahli perniagaan dan peguam, secara terus dan menerusi peguam masing-masing.
Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu.
Setakat ini, tiada rekod menunjukkan kedua-duanya kembali ke Malaysia.
“Individu pertama, Muhammad Adlan Berhan, 48, mempunyai alamat terakhir di Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, di sini.
“Individu kedua, Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor,” kata suruhanjaya itu menerusi kenyataan hari ini.
Datuk Muhammad Adlan adalah menantu kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), manakala Mansoor adalah seorang peguam.
Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Muhammad Amin Jamaluddin menerusi telefon 603-8870 0799 atau 016-4322 699 atau emel kepada amin.jamaluddin@sprm.gov.my.