1) Pada tarikh 7hb Ogos 2023 saya Muhammad Faiz Bin Na’aman, no keahlian Parti BERSATU 00000061 telah mengutuskan surat rasmi kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan perletakan jawatan saya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang dilantik oleh beliau, serta pemberhentian saya dari menjadi ahli Parti Bersatu berkuatkuasa serta- merta.
2)Adalah dengan berat hati keputusan besar tersebut terpaksa dibuat memandangkan saya adalah antara 100 ahli dan orang muda terawal yang menyertai Parti BERSATU ketika penubuhannya dalam tahun 2016 dahulu.
3) Umum mengetahui sepanjang saya berada dalam saf kepimpinan pusat Parti BERSATU, saya telah memainkan peranan yang agak aktif dalam mempertahankan parti serta pucuk pimpinan di media-media sosial serta media-media massa.
4) Saya kekal istiqomah dan wala’ dengan kepimpinan parti selama 7 tahun lamanya walaupun sedar saya jarang diberikan peluang yang serius untuk “diperkasakan” sebagai pemimpin pelapis walaupun ketika Parti BERSATU memegang tampuk kekuasaan di dalam kerajaan Persekutuan Malaysia sejak 2018 hingga 2021.
5) Selain itu, saya lihat sedikit demi sedikit Parti BERSATU telah terpesong dari objektif awal kononnya untuk menggantikan UMNO dengan memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka-muka baru terutama yang mempunyai latar- belakang yang bersih, kelulusan akademik yang dihormati serta mereka yang setia dengan parti dari mula.
6) Keputusan kepimpinan parti yang seringkali mengabaikan suara akar umbi, para pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan Parti BERSATU telah mengalami kekalahan dalam PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini. Sejarah itu juga dilihat bakal berulang dalam PRN 6 buah negeri terutama untuk kerusi-kerusi Parti BERSATU dalam PRN Selangor sekarang.
7) Pemilihan calon-calon yang berat sebelah kepada pihak “kartel” tertentu serta calon-calon bidan terjun yang baru dijadikan ahli parti hanya semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor telah menyebabkan terjadi pemberontakan lebih kurang 9 Bahagian-Bahagian BERSATU di Selangor ini hingga terdapat insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan/ Saringan Calon yang bertanggungjawab terhadap penamaan calon-calon PRN tersebut tanpa mengambil kira sentimen penerimaan pihak Bahagian dan jentera di lapangan.
8) Malah kelemahan Lembaga Disiplin parti yang lambat dan banyak kerenah telah menyebabkan watak-watak yang telah keluar dan mengkhianati parti dalam PRU15 lalu boleh kembali mendakwa dirinya masih menjadi ahli Parti BERSATU untuk dipilih menjadi calon PN dalam PRN ini.
9)Adalah tidak menghairankan jika Parti BERSATU tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti-parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak-anak muda serta orang baru dalam politik memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian, kedudukan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diseringkali hanya menjadi tempat diberi taklimat tentang keputusan dan tindakan yang telah pun dibuat terlebih dahulu oleh Biro Politik, hingga kepada tiadanya usaha jelas untuk pengkaderan bagi mewujudkan barisan kepimpinan parti yang berkualiti demi masa hadapan.
10)Lebih memalukan sekarang ialah Parti BERSATU hakikatnya makin tidak dihormati malah ada permintaan dan keputusan rundingan tidak diendahkan oleh parti rakan komponen yang terkuat dalam PN apabila mereka tahu bahawa Parti BERSATU makin lemah dari segi kepimpinan dan pengaruh akibat terlalu banyak percaturan politik dalaman dan watak-watak yang tidak dihormati masyarakat luar diangkat menjadi pemimpin sama ada di peringkat Pusat, Negeri atau Bahagian dalam parti.
11) Sebagai seorang yang sejak dari awal tanpa segan menisbahkan diri dengan istilah NASIONALIS MODERAT, saya agak kecewa Parti BERSATU kurang menekankan mengenai roh asas ideologi perjuangan di kalangan pemimpin dan akar umbi parti, hingga ada pihak-pihak yang baru menyertai parti BERSATU cuba membawa mentaliti serta budaya lama dari wadah mereka yang terdahulu. Ini sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan mengenai DNA dan aspirasi sebenar Parti BERSATU di persada politik tanah air kerana BERSATU sepatutnya giat mempromosikan KESEDERHANAAN yang berpaksikan RUKUN NEGARA dan semangat kebangsaan prorakyat marhaen dengan menjarakkan diri dari kelompok ultra Melayu, ultra liberal atau ekstremis agama.
12) Saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua andai selama saya berpolitik dalam wadah Parti BERSATU ini saya ada terlajak berkata-kata, membuat tuduhan atau label-label yang kurang enak kepada pihak yang dikritik. Saya ingin membuka lembaran buku baru kehidupan sempena penghijrahan saya ini tanpa menoleh lagi ke belakang. Saya harap kita boleh mengamalkan politik matang berdasarkan rasional, fakta, realiti dan keutamaan dalam membentuk masyarakat yang adil, cerdik menilai dan tidak taksub dengan individu yang tidak maksum demi membina kembali negara majmuk milik segenap warganegara Malaysia yang tercinta ini.
13) Kepada rakan-rakan yang masih berjuang dengan ikhlas dalam Parti BERSATU dan keluarga besar Perikatan Nasional (PN) saya hormati pendirian serta semangat kalian. Ukhwah yang pernah terbina antara kita insan ini insya-Allah tidak akan terputus walaupun mungkin suatu hari nanti kita telah berlainan wadah. Kita mungkin ada perbezaan pendapat dan pendekatan, namun tetap masih boleh dicari titik persamaan dalam perihal memajukan bangsa dan negara.
MUHAMMAD FAIZ BIN NA’AMAN 7hb OGOS 2023