PERGOLAKAN dalam pencalonan pilihan raya negeri (PRN) melibatkan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan menyaksikan tindakan UMNO yang tidak bersama dengan Perikatan Nasional (PN) adalah tepat. Ini juga menunjukkan bergabung dengan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) adalah langkah tepat bagi UMNO untuk memastikan survivalnya.
Perlu dinyatakan, jika UMNO tetap bersama PN, perselisihan dalam perebutan kerusi menjadi lebih kompleks kerana ia melibatkan tiga parti utama Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu. Perjuangan untuk meraih sokongan dan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi semakin rumit serta mungkin ada lebih banyak pertandingan sesama sendiri.
PRN ini adalah berbeza dengan pilihan raya umum (PRU), terutama dalam perkara persepsi sokongan kuat diterima ahli Pas dan Bersatu dalam kalangan Melayu. Semasa penamaan calon baru-baru ini, beberapa veteran UMNO keluar dari parti kerana tidak dinamakan sebagai calon dalam PRN oleh PN sebagaimana terjadi pada PRU15.
Pemimpin PN ketika ini mungkin merasakan kehadiran mereka (veteran UMNO) tidak penting kerana keyakinan terhadap sokongan orang Melayu kepada PN begitu mantap. Oleh itu, ramai ahli PN ingin menjadi calon PRN kali ini kerana merasakan peluang menjadi YB (Yang Berhormat) amat cerah. Perasaan tamak dalam kalangan ahli dan pemimpin PN amat nyata kali ini. Oleh itu, mereka tidak akan memberi ruang kepada bekas pemimpin UMNO sebagai calon.
Keutamaan mereka kali ini tidak sama seperti PRU lalu. Berubah daripada memastikan kemenangan parti kepada kemenangan diri sendiri. Ini mengingatkan kita sindrom di zaman Barisan Nasional (BN) begitu kuat pada era 1980-an dan awal 1990-an.
Selain itu, rasa ketidakpuasan hati penyokong Pas pada PRN kali ini amat jelas. Mereka mungkin merasakan dipaksa untuk membantu calon dari Bersatu yang tidak mempunyai jentera untuk bergerak semasa kempen PRN. Yang bekerja keras mereka, namun yang mendapat laba orang lain. Mereka juga merasakan dipergunakan dan Pas telah digunakan untuk kepentingan Bersatu. Ketidakpuasan hati mereka terhadap situasi semasa ditonjolkan dengan bertanding sebagai calon Bebas.
Perlu diingat, PN tidak boleh mengharapkan gelombang hijau berterusan dalam PRN ini. Suasana politik saat ini sudah berbeza dengan PRU15. Cita-cita para pemimpin PN yang rakus dalam merebut kekuasaan akan menghambat kemajuan PN itu sendiri. Tindakan ini dapat menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan pengundi dan membuka peluang bagi pihak lawan untuk memanfaatkan situasi tersebut.
UMNO sudah merasai ‘penangan’ daripada Pas dan Bersatu tempoh hari. Perbuatan ‘tikam belakang’ dialami UMNO ekoran tajaan calon-calon Bebas melawan parti itu dalam PRN Sabah, 26 September 2020. Ia pengajaran berguna untuk UMNO mengenali luar dalam ‘kolam’ terbabit. Tidak ada manisnya lagi apabila kuasa dan jawatan menjadi keutamaan, sesiapa pun waima yang Islam teras perjuangannya jadi gelap mata.
TIPIS
Dalam kalangan orang UMNO pula, mereka harus mengambil iktibar.
Barangkali ada yang masih ‘marahkan’ UMNO kerana bergabung dengan PH. Sedangkan jika diteliti secara mendalam dan terbuka, UMNO sebenarnya hanya mengambil langkah selepas PN menolak berkongsi kuasa dengan PH. Hanya selepas tiada parti meraih majoriti mudah selepas PRU15, dengan masuk tiga hari pun masih belum dapat membentuk kerajaan, barulah UMNO menggerakkan diri bersama-sama parti-parti lain untuk menguruskan negara.
Ini semua demi kestabilan selepas titah Yang di-Pertuan Agong. Jika negara terus diuruskan oleh kerajaan yang masih memiliki majoriti tipis satu atau dua kerusi Parlimen seperti mana dua kerajaan terdahulu, bayangkan bila-bila sahaja boleh tumbang. Kontrak pelabur asing pun boleh terancam, dibatalkan dan mereka akan cabut lari dan tidak lagi percaya pada Malaysia.
Oleh sebab itu, BN perlu bersama-sama menerusi perjanjian ditandatangani untuk membentuk kerajaan perpaduan. Namun, UMNO bukannya bernaung di bawah PH. BN tetap dengan BN-nya manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Parti Warisan dengan identiti masing-masing.
Realitinya, kerajaan perpaduan masih mengharapkan UMNO sebagai tonggak. Daripada pengiktrafan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan peranan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan ahli-ahli Parlimen UMNO, parti berusia lebih enam dekad itu tidak akan mati selagi prinsip perjuangannya berlandaskan agama dan bangsa. Masih ada penyokong, cuma lambat atau cepat sahaja untuk rakyat nampak kebangkitan UMNO setelah kombinasi semua parti politik membentuk kerajaan berlaku dan disaksikan.
Bersatu dan Pas pun telah membentuk kombinasi dengan PKR dan DAP, tetapi gagal. Lihat Pas apabila berpakat dengan DAP pada PRU 1999, 2008 dan 2013, parti Islam itu mendapat kemenangan tertinggi, iaitu 27 kerusi Parlimen pada 1999, 23 (2008) dan 21 (2013). Bersatu yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dibantu Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama DAP berjaya menumbangkan BN dalam PRU14.
Jadi, harapannya hari ini kepada formula kerajaan perpaduan yang kali ini PKR dan DAP disertai UMNO. Jika menang cemerlang di sekurang-kurangnya empat dari enam negeri, PH-BN akan meluncur laju. Tetapi kalau gagal, masih ada peluang untuk baikinya semula.
Adakah orang UMNO boleh mematikan langkah PN dengan sepakat memastikan pentadbiran Pas di Kedah dan Terengganu cuma satu penggal sahaja?
Isu ini juga perlu dipandang serius oleh gabungan kerajaan perpaduan dan dijadikan sebagai pengajaran untuk menjamin keutuhannya. Perlu ada usaha serius daripada semua pihak untuk mencapai kesepakatan dan kerja sama yang demi menjaga kestabilan politik dan kepercayaan masyarakat dalam sistem politik negara.
Untuk UMNO, tidak akan tumbang kerana presiden, tetapi akan tumbang jika para penyokongnya tidak lagi setia dan mempertahan presiden. Presiden yang sebaik Datuk Seri Najib Tun Razak pun tumbang kerana tidak dipertahankan dan tidak mendapat sokongan ahli-ahli.
Anda, penyokong UMNO, jika tidak mengundi UMNO (BN-PH) kerana tidak mahukan Ahmad Zahid, anda bukan sahaja menguburkan beliau tetapi juga UMNO. Fikirlah. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar.
Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa. Juga disiarkan di Utusan Malaysia