Bekas ketua eksekutif Formula Satu, Bernie Ecclestone, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan jenayah penipuan pada 6 Jun 2023, memetik laporan Bloomberg.
Menurut The Guardian, agensi percukaian UK, HM Revenue and Customs (HMRC), melancarkan siasatan ke atas tokoh F1 yang berusia 92 tahun itu pada Julai 2022, yang digelar sebagai kes kompleks dan melibatkan seluruh dunia.
Siasatan itu meliputi tempoh antara 13 Julai 2013 hingga 5 Okt 2016.
Agensi cukai itu menuduh Ecclestone gagal mengisytiharkan aset bernilai S$650 juta dolar dalam sebuah bank Singapura, yang tidak dinamakan.
Dia sebelum ini mendakwa bahawa dia hanya menubuhkan satu amanah untuk anak perempuannya dan selain itu, dia “bukan penyumbang mahupun penerima mana-mana amanah di dalam atau di luar UK”.
Sejak pertuduhan itu diumumkan pada Julai 2022, Ecclestone telah hadir di mahkamah sekurang-kurangnya dua kali setakat ini, sekali pada Ogos 2022, dan sekali lagi pada April 2023.
Perbicaraan beliau dijadualkan bermula pada 16 November 2023.
Siapakah Bernie Ecclestone?
Ecclestone, yang nilai bersihnya dianggarkan sekitar S$3.8 bilion, merupakan bekas CEO organisasi sukan Formula Satu.
Dia bermula sebagai pemandu lumba pada tahun 1958 dan kemudian menjadi pemilik pasukan pada tahun 1972.
Dia mendapat pengiktirafan kerana mengembangkan industri perlumbaan daripada sukan hobi kepada tontonan global seperti hari ini. Dia terkenal dengan gelaran, F1 supremo.
Sebagai ketua eksekutif kumpulan Formula Satu, Ecclestone menyelia untuk memasukkan Singapura ke litar F1 pada tahun 2008.
Grand Prix Singapura adalah acara perlumbaan malam pertama dalam sejarah Formula Satu.
Reuters melaporkan pada 2007 bahawa Ecclestone berkata kemasukan Singapura ke dalam perlumbaan F1 tidak mungkin berlaku tanpa jutawan yang berasal dari Malaysia, Ong Beng Seng, yang berpangkalan di Singapura dan memiliki Hotel Properties Ltd.
(Ahli perniagaan Ong Beng Seng)
“BS (Beng Seng) dan saya telah berkawan selama bertahun-tahun dan kami cuba menjadikannya realiti,” kata Ecclestone.
Ong kini membantu Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dengan siasatan yang sedang dijalankan.
Ecclestone meletak jawatan sebagai CEO F1 pada 2017, dan digantikan oleh Chase Carey.
Ecclestone mengambil peranan sebagai penasihat.
Ini bukan kali pertama bekas bos F1 itu terperangkap dalam skandal pengelakan cukai.
Menurut BBC, pada tahun 2008, dia mengelak bil cukai berpotensi £1.2 bilion hasil daripada perjanjian rahsia dengan HMRC, sebaliknya hanya membayar £10 juta.