KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank Bhd telah mengenal pasti empat sektor terpilih yang mungkin dipertimbangkan pelabur untuk separuh kedua 2023 (2H2023), iaitu penerbangan, barangan pengguna, penjagaan kesihatan dan utiliti, sebagai pilihan berpotensi untuk pertumbuhan pendapatan.
Ketua penyelidikan ekuitinya Anand Pathmakanthan berkata sektor penerbangan mengalami anjakan positif disebabkan faktor seperti bekalan yang ketat, jualan hadapan yang tinggi dan penurunan harga bahan api jet, yang telah membawa kepada peningkatan dalam pendapatan.
“Dengan potensi ringgit yang lebih kukuh, kos bahan api jet yang berkesan mungkin terus menurun, menjadikannya pilihan yang menjanjikan untuk pelabur.
“Itu positif untuk pendapatan untuk perniagaan leveraj operasi yang tinggi seperti penerbangan,” katanya semasa webinar tinjauan pasaran ekuiti runcit 2H2023, hari ini.
Pathmakanthan turut menyebut bahawa dalam sektor barangan pengguna, terdapat keutamaan kepada pengguna untuk memilih produk atau perkhidmatan yang berharga lebih rendah atau lebih murah berbanding apa yang mereka beli sebelum ini kerana keadaan ekonomi yang mencabar.
Berkenaan penjagaan kesihatan dan utiliti, sektor ini dianggap sebagai pilihan defensif dengan strategi pelaburan atau aset yang dianggap agak tahan terhadap kemelesetan pasaran dan turun naik ekonomi.
“Pelabur boleh mempertimbangkan saham dalam sektor ini untuk kestabilan dan keselamatan dalam keadaan pasaran yang tidak menentu,” tambahnya
Sumber – Bernama