KUCHING: Satu program kesedaran keselamatan jalan raya perlu dilaksanakan bagi membiasakan pengguna dengan susunan jalan raya baharu di Lebuhraya Pan Borneo yang dalam peringkat akhir pembinaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata penggunaan pusingan-P bagi menggantikan pusingan-U konvensional di sepanjang lebuh raya adalah antara beberapa aturan yang masih belum dibiasakan sepenuhnya oleh pengguna jalan raya, menyebabkan ia menjadi salah satu punca kemalangan.
“Pan Borneo adalah lebuh raya pertama di Sarawak dengan empat lorong dua laluan di mana kita lihat agak banyak kemalangan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jerayawara Advokasi Keselamatan Pan Borneo Sarawak di sini hari ini.
Menurut statistik, Fadillah berkata sebanyak 355 kemalangan maut dilaporkan antara Januari dan Jun tahun ini, yang disifatkannya membimbangkan.
Selain pengaturan jalan raya yang baharu, pemanduan laju, memandu menentang aliran trafik dan mengalihkan pagar untuk mengambil jalan pintas untuk ke destinasi dengan lebih cepat adalah faktor lain yang menyumbang kepada kemalangan di lebuh raya, katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata program jerayawara yang melibatkan ketua masyarakat zon Kuching itu akan diadakan secara berperingkat di bahagian lain di Sarawak.
(Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof)
Program itu dianjurkan bersama Jabatan Kerja Raya Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pengurusan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak (PLPS) dan pejabat daerah di seluruh negeri.
Tambah Fadillah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan beliau untuk membantu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam mencari penyelesaian bagi mempercepatkan penyiapan lebuh raya itu.
Katanya, dua daripada tiga bahagian Lebuhraya Pan Borneo Sarawak iaitu Sarikei dan Bukit Begunan dijadual siap hujung tahun ini, manakala bahagian Lambir dekat Miri akan siap tahun depan. -Bernama