spot_img
spot_img

Usahawan jangan lambat beralih ke pendigitalan

spot_img

LAPORAN terkumpul yang dikeluarkan oleh Google, Temasek (GLC Singapura) dan Bain & Company pada tahun lalu mendapati pertumbuhan pasaran digital Malaysia meningkat secara mendadak sebanyak 47 peratus, iaitu RM88 bilion (2021) berbanding RM59 bilion (2020).

Peningkatan hampir 50 peratus ini didorong lonjakan ketara sebanyak 68 peratus aktiviti perniagaan dalam platform e-dagang, yang dijangka terus berkembang menjelang 2025, antaranya melalui sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pertumbuhan ini jelas menunjukkan usaha signifikan kerajaan dalam menggalakkan penglibatan peniaga dalam ekonomi digital melalui pengenalan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) yang diperkenalkan pada 2021.

- Advertisement -

RTEDM dirangka untuk memperluas penggunaan teknologi digital bagi mengurangkan tekanan Covid-19 terhadap ekonomi PMKS di samping mempergiatkan usaha meningkatkan literasi dan kemahiran digital dalam kalangan PMKS. Secara tidak langsung, ini dapat meningkatkan daya saing dalam bidang perniagaan digital terutama bagi usahawan PMKS.

Berdasarkan Laporan Tinjauan PMKS 2021 oleh SME Corp., Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bermula Mac 2020 hingga Disember 2021 telah mengehadkan pergerakan orang ramai semasa pandemik Covid-19 menjadi salah satu sebab peningkatan penggunaan platform perniagaan digital di negara ini.

Sungguhpun begitu, berbanding sektor-sektor perniagaan lain, pendigitalan pasaran PMKS masih lagi dilihat suram. Laporan Indeks Penerimaan Perniagaan Digital Kebangsaan 2022 oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menunjukkan 64 peratus daripada perniagaan tidak mengguna pakai sebarang teknologi baharu terutama PMKS.

- Advertisement -

Hal ini disebabkan sesetengah pengusaha masih tidak mampu bersaing dalam mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam perniagaan mereka. Ini disebabkan oleh kekangan kewangan dan tenaga mahir yang tidak meningkatkan hasil jualan dan pendapatan mereka.

MODAL TERHAD

Walaupun pasaran digital semakin menjadi trend dalam kalangan peniaga di Malaysia, kebanyakan pengusaha PMKS masih tercicir dalam memanfaatkan kemajuan teknologi ini. Ini disokong oleh data RTEDM yang menunjukkan hanya 44 peratus daripada PMKS menggunakan perkhidmatan awan (cloud services) untuk menyimpan dokumen, foto dan video.

Keadaan ini disebabkan oleh modal tidak mencukupi bagi menampung kos pengadaptasian digital yang tinggi, sekali gus mengehadkan akses mereka kepada platform perniagaan digital dan menjejaskan kecekapan operasi perniagaan.

Ini mendorong kepada penerima gunaan teknologi yang rendah dalam kalangan PMKS yang dikhuatiri akan merencatkan pelan RTEDM ke arah pembangunan sosioekonomi yang inklusif, inovatif, berdaya saing dan mampan.

PENGETAHUAN TEKNOLOGI

Selain itu, tahap produktiviti dalam kalangan PMKS dilihat masih rendah berikutan kekurangan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang teknologi. Ini kerana kebergantungan terhadap pekerja yang berkemahiran rendah dalam ekosistem PMKS, yang mengambil masa lama untuk beradaptasi dengan teknologi dan digitalisasi.

Data kajian SME Corp. menunjukkan hanya 28.8 peratus daripada PMKS mengguna pakai teknologi digital di samping 6.9 peratus terlibat dalam penghasilan produk menerusi teknologi digital.

Situasi ini dapat menjejaskan produktiviti dalam kalangan PMKS di beberapa sektor antaranya pembinaan, perlombongan, pengkuarian dan perkhidmatan impak daripada Covid-19.

Data dari SME Corp. juga menunjukkan produktiviti pekerja PMKS dalam sektor-sektor tersebut mencatatkan hanya 0.1 peratus, iaitu RM70,827 bagi setiap pekerja pada 2021 berbanding 2.7 peratus atau RM108,923 oleh pekerja bukan PMKS dalam sektor sama.

EKOSISTEM PMKS

Pembangunan platform perniagaan digital yang berkesan dapat membantu PMKS dalam mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas. Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Malaysia mencatatkan sejumlah 25 juta pengguna platform digital – tertinggi di Asia Tenggara.

Fenomena ini mewujudkan peluang besar kepada PMKS untuk terlibat dalam teknologi digital. Sebagai contoh, mereka boleh memanfaatkan platform seperti TikTok untuk mempromosikan produk secara video in-Feed, siaran langsung dan tab pameran produk kepada pengikut/pelanggan yang lebih besar, berbanding kaedah konvensional.

Penyertaan PMKS dalam platform e-dagang misalnya, dapat mengembangkan lagi pasaran produk dan perkhidmatan ditawarkan mereka. Ini selaras dengan Pemacu Perubahan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ketiga, iaitu Mentransformasi PMKS sebagai Pemacu Baharu Pertumbuhan.

Penyertaan PMKS dalam platform e-dagang ini juga akan menarik bakat-bakat muda sekali gus melonjakkan pertumbuhan PMKS sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

ANJAKAN PARADIGMA

Adaptasi digital yang rendah dalam kalangan PMKS merupakan halangan kepada sasaran mencapai 45 peratus sumbangan KDNK menjelang 2025. Bagi membendung masalah ini, Kementerian Komunikasi dan Digital memperkenalkan beberapa inisiatif dan program untuk memupuk kesedaran dan penglibatan aktif dalam kalangan PMKS bagi mendigitalkan perniagaan mereka.

Antara inisiatif dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta MDEC ialah mewujudkan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang menyediakan latihan dan bimbingan kepada pengusaha PMKS terutama di kawasan luar bandar.

Pelaksanaan PEDi membantu pengusaha PMKS untuk meningkatkan kebolehcapaian dan akses pasaran lebih luas sehingga di peringkat global. Sehingga kini terdapat 1,083 PEDi yang beroperasi di seluruh negara.

Inisiatif ini dapat melahirkan 600,000 daripada 800,000 usahawan PMKS untuk membangunkan perniagaan ke arah pendigitalan dan diteruskan menerusi program Transformasi Pendigitalan PMKS dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta dalam Belanjawan 2023.

Melihat kepada kejayaan inisiatif ini, pengusaha PMKS perlu lebih bersikap terbuka untuk menerima atau mengadaptasi penggunaan teknologi digital dalam perniagaan mereka. Anjakan paradigma dalam kalangan pengusaha PMKS mampu meningkatkan potensi perniagaan mereka bagi memastikan perniagaan lebih berdaya saing dan mampan, terutama dalam berhadapan dengan krisis seperti pandemik Covid-19.

Ini dapat mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi menyokong aktiviti pertumbuhan ekonomi dan perniagaan dalam kalangan pengusaha PMKS seterusnya melonjakkan pertumbuhan dan menyumbang kepada KDNK lebih besar seperti diaspirasikan dalam RMK12.

Dafizrul Azali Daud ialah Penganalisis Penyelidikan (Pelatih), Institut Masa Depan Malaysia.

Jendela Biz mentransformasikan bisnes anda ke pendigitalan dengan yang mudah, kos murah, cepat dan menjana keuntungan bisnes. Hubungi support@jendela.biz atau whatsapp <tranformbiz> ke 0124216051

 

 

 

Sumber – UTUSAN

 

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img