Pihak berkuasa Taliban Afghanistan telah mengarahkan salon kecantikan di seluruh negara itu ditutup dalam tempoh sebulan, naib kementerian mengesahkan perkara itu. Ini merupakan satu lagi sekatan terbaharu yang boleh menghalang kebebasan wanita daripada menjalani kehidupan normal mereka.
Perintah itu akan memaksa penutupan beribu-ribu perniagaan yang dijalankan oleh wanita — boleh dikatakan satu-satunya sumber pendapatan isi rumah — dan mengharamkan salah satu daripada beberapa peluang yang masih ada untuk mereka bersosial jauh dari rumah.
“Saya fikir alangkah baiknya jika wanita tidak wujud sama sekali dalam masyarakat ini,” kata pengurus sebuah salon Kabul yang enggan dikenali.
“Saya katakan ini sekarang: Saya harap saya tidak wujud. Saya harap kami tidak dilahirkan di Afghanistan, atau bukan dari Afghanistan.”
Sejak merampas kuasa pada Ogos 2021, kerajaan Taliban telah melarang gadis dan wanita dari sekolah menengah dan universiti, melarang mereka dari taman, pesta ria dan gim, dan mengarahkan mereka untuk menutup muka di khalayak ramai.
Wanita juga kebanyakannya dilarang bekerja untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau NGO, dan beribu-ribu telah dipecat daripada pekerjaan kerajaan atau swasta, dan hanya boleh tinggal di rumah.
Mohammad Sadeq Akif Muhajir, jurucakap Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat, tidak akan memberikan alasan mengapa perintah itu dilaksanakan.
“Apabila mereka ditutup maka kami akan berkongsi sebabnya dengan media,” katanya yang dipetik daripada laporan AFP.
Beliau berkata perniagaan-perniagaan kecantikan seluruh negara telah diberi masa untuk menutup urusan mereka supaya mereka boleh menggunakan stok mereka tanpa mengalami kerugian.
Salinan perintah baru itu yang diterima oleh AFP menyatakan ia “berdasarkan arahan arahan lisan daripada pemimpin tertinggi” Hibatullah Akhundzada.
(Hibatullah Akhundzada – pemimpin utama Taliban)
Salon kecantikan tumbuh rancak di seluruh Kabul dan bandar-bandar lain di Afghanistan dalam tempoh 20 tahun ini sejak tentera pimpinan AS menakluki negara itu.
Mereka dilihat sebagai tempat yang selamat untuk berkumpul dan bersosial jauh dari lelaki dan menyediakan peluang perniagaan yang penting untuk wanita.
“Perempuan biasanya suka bersembang, bergosip. Tidak ada pergaduhan di sini, tidak ada bunyi bising,” kata seorang pekerja salon yang hanya mahu dikenali sebagai Neelab.
“Apabila kami melihat beberapa wajah gembira dan aktif di sini, kami juga segar. Salun mempunyai peranan yang sangat penting; tempat ini membuatkan kami berasa selesa.”
Seorang lagi pengurus salon berkata dia menggaji 25 wanita yang kesemuanya pencari nafkah untuk keluarga mereka.
“Semua mereka kecewa… apa yang perlu mereka lakukan?” dia berkata.
Laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB minggu lalu oleh Richard Bennett, pelapor khas untuk Afghanistan, berkata nasib wanita dan gadis di Afghanistan “adalah antara yang paling teruk di dunia”.
“Diskriminasi yang serius, dilakukan secara sistematik dan kerahkan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan adalah di tengah-tengah ideologi dan pemerintahan Taliban, yang juga menimbulkan kebimbangan bahawa mereka mungkin bertanggungjawab terhadap apartheid jantina,” kata Bennett.
Timbalan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Nada Al-Nashif menambah: “Sejak 22 bulan lalu, setiap aspek kehidupan wanita dan kanak-kanak perempuan telah disekat.”
“Mereka didiskriminasi dalam segala hal.”
Akhundzada, yang jarang muncul di khalayak ramai dan banyak mentadbir melalui dekri (arahan) dari tempat kelahiran Taliban di Kandahar, berkata bulan lalu wanita Afghanistan telah diselamatkan daripada “penindasan tradisional” dengan menerima pakai tadbir urus Islam dan status mereka sebagai “manusia bebas dan bermaruah” dipulihkan.
Beliau berkata dalam satu kenyataan sempena perayaan Aidil Adha bahawa langkah telah diambil untuk menyediakan wanita “kehidupan yang selesa dan sejahtera menurut Syariah Islam”.
Raha, seorang pelajar berusia 24 tahun, yang dihalang daripada belajar universiti tahun lepas, melawat salon pada hari Selasa untuk membuat solekan kecantikan sebelum majlis pertunangan.
“Tempat ini adalah satu-satunya tempat yang tinggal (yang ada di negara itu) untuk wanita mencari rezeki sendiri dan mereka (Taliban) juga mahu mengambilnya,” katanya.
“Ini soalan untuk kita semua — mengapa mereka berbuat demikian? Atas sebab apa?”