Sebuah pertubuhan bukan kerajaan mewakili peneroka Felda kecewa dengan keputusan kerajaan melantik bekas menteri dari Umno Ahmad Shabery Cheek sebagai pengerusi GLC (government link company) itu.
Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata Felda yang ditubuhkan pada 1956 dan mempunyai 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan, masih mengekalkan “orang luar” menjaga kepentingan warganya.
“Desakan berterusan agar cerdik pandai dan aktivis generasi baharu Felda diberi peluang dan kepercayaan menerajui Felda, seperti tidak dihargai,” katanya dalam kenyataan.
Rabu lalu, Felda mengumumkan pelantikan Shabery yang juga bekas menteri pertanian dan industri asas tani sebagai pengerusi Felda berkuat kuasa pada 1 Julai.
Shabery juga pernah memegang beberapa portfolio dalam kerajaan antara 2008 hingga 2018 termasuk menteri penerangan, menteri belia dan sukan dan menteri komunikasi dan multimedia.
Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu menggantikan bekas menteri besar Terengganu Idris Jusoh yang juga dari parti UMNO, yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Felda pada minggu lalu.
Idris berkata beliau menerima keputusan Pejabat Perdana Menteri yang mahu beliau melepaskan jawatan itu, setahun lebih awal daripada kontraknya.
ANAK berkata, tragedi hitam khususnya 10 tahun kebelakangan ini yang mengakibatkan sisi gelap Felda, penyalahgunaan kuasa dan korupsi juga seperti tidak dijadikan iktibar.
“Sejak kecil dan membesar dalam persekitaran Felda dan bersama denyut nadi para peneroka; menyaksikan sendiri aset Felda dijarah hingga lesap dan berhutang bilion ringgit, sampai bilakah kesudahannya?
“Saya dan beberapa aktivis Ngo Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) masih ingat dijemput bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar Ogos atau September 2018.
“Masih terngiang antara ungkapan beliau mengenai Pengerusi Felda yang dilantik di bawah Kementerian Ekonomi yang diterajui Datuk Seri Azmin Ali. DSAI (Anwar) meluahkan rasa tidak senang, melahirkan harapan dan janjinya kepada saya dan rakan rakan jika terpilih sebagai PM suatu hari nanti.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini adalah Perdana Menteri. Namun, episod duka 2018 berulang kembali! Apakan daya, ia pilihan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mazlan, meskipun kenyataan kerajaan komited untuk menstruktur semula pinjaman Felda yang sedikit sebanyak mengubat duka, namun hati warganya tetap luka dengan keputusan pelantikan itu.
Walaubagaimanapun, Mazlan mengucapkan selamat maju jaya kepada pengerusi Felda yang baharu itu.