AS sedang mempertimbangkan sekatan baharu ke atas eksport cip kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) ke China, dipetil laporan daripada Wall Street Journal pada Selasa (27 Jun).
Jabatan Perdagangan akan menghentikan penghantaran cip yang dibuat oleh Nvidia dan syarikat cip lain kepada pelanggan di China seawal Julai, kata laporan itu dan menyebabkan saham syarikat-syarikat teknologi tersebut jatuh.
Nvidia, Micron dan AMD adalah antara pembuat cip AS yang terperangkap dalam pertempuran antara China dan pentadbiran Presiden Biden.
Pada bulan September, Nvidia telah berkata bahawa pegawai AS meminta syarikat itu berhenti mengeksport dua cip pengkomputeran teratas untuk kerja kecerdasan buatan ke China.
Beberapa bulan kemudian, Nvidia yang diketuai Jensen Huang berkata ia akan menawarkan cip canggih baharu yang dipanggil A800 di China untuk memenuhi peraturan kawalan eksport. Syarikat itu juga mengubah suai cip H100 awal tahun ini untuk mematuhi peraturan dari pentadbiran Biden.
Tetapi sekatan baharu yang difikirkan oleh jabatan itu akan mengharamkan penjualan cip A800 tanpa lesen eksport khas AS, tambah laporan itu.
Sementara itu di China, kerajaannya menggalakkan para billionaire negara itu untuk bersaing dengan syarikat raksasa AS seperti Google dan Microsoft Corp dalam perlumbaan kecerdasan buatan global.
Ini penting menentukan kepentingan kuasa global. Antara mereka yang konsisten menyertai ‘perlumbaan’ ini ialah seperti mogul internet Wang Xiaochuan, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Sogou Inc., enjin carian Internet No.2 China, dan Kepintaran Buatan terkemuka di China. Dia telah menyertai bersama-sama barisan saintis, pengaturcara dan pembiaya China lain — termasuk bekas pekerja ByteDance Ltd, platform e-dagang JD.com Inc dan Google — dijangka mendorong perbelanjaan AS$15 bilion (RM69.9 bilion) untuk teknologi AI China tahun ini .
(Wang Xiaochuan)
Bagi Wang, yang mengasaskan enjin carian Sogou yang dibeli daripada Tencent Holdings Ltd dalam perjanjian AS$3.5 bilion dua tahun lalu, peluang itu datang dengan pantas. Menjelang April, graduan sains komputer itu telah pun menubuhkan syarikat permulaannya (start up) sendiri dan memperoleh AS$50 juta dalam modal awal. Dia menghubungi pekerja bawahan di Sogou, yang kebanyakannya menyertainya. Menjelang Jun, firmanya telah melancarkan model bahasa besar sumber terbuka dan ia sudah digunakan oleh penyelidik di dua universiti paling terkemuka di China.
“China masih ketinggalan tiga tahun di belakang AS, tetapi kita mungkin tidak memerlukan tiga tahun untuk mengejarnya”, kata Wang.
Bakat dan pembiayaan China yang begitu besar mengalir ke AI mencerminkan gelombang aktiviti yang menggegarkan Silicon Valley, yang mempunyai implikasi mendalam terhadap konflik Beijing – Washington yang semakin meningkat.
Penganalisis dan eksekutif percaya AI akan membentuk pemimpin teknologi masa depan, sama seperti internet dan telefon pintar mencipta kumpulan raksasa global. Selain itu, ia boleh mendorong aplikasi daripada superkomputer kepada kehebatan ketenteraan – berpotensi menggugat keseimbangan geopolitik.
Cuma cabaran China ialah mereka dikekang oleh sekatan negara-negara kaya, sekatan teknologi AS, data pengawal selia, permintaan penapisan, dan ketidakpercayaan Barat yang mengehadkan pengembangan antarabangsa. Semua itu akan menyukarkan China untuk mengejar AS.
Pelaburan AI di AS lebih kecil berbanding China. Pentadbiran Xi Jinping menyedari bahawa AI, sama seperti semikonduktor, akan menjadi kritikal untuk mengekalkan penguasaan China dan berkemungkinan akan menggerakkan sumber negara untuk memacu kemajuan.
Generasi pelopor pemula China yang diketuai oleh Tencent, Alibaba Group Holding Ltd dan pemilik TikTok ByteDance membina industri yang benar-benar boleh menyaingi Silicon Valley, sehingga Facebook, YouTube dan WhatsApp dtidak perlu berada di pasaran 1.4 bilion penduduk itu. Pada satu ketika pada 2018, pembiayaan modal teroka di China berada di landasan yang betul untuk mengatasi AS – sehingga perang perdagangan antara dua negara berlaku.
Situasi yang sama boleh berlaku, di mana firma China sendiri dapat berkembang maju apabila saingan AS tidak ada di negara itu, berkemungkinan akan berlaku sekali lagi dalam arena AI di mana ChatGPT dan Bard Google telah disekat dengan berkesan di China.
Model AI yang berjaya akhirnya boleh berfungsi seperti sistem pengendalian telefon pintar Android atau iOS, yang menyediakan infrastruktur atau platform yang Tencent, ByteDance dan Ant Group Co. inginkan: dalam media sosial dengan WeChat, video dengan Douyin dan TikTok, dan pembayaran dengan Alipay. Ideanya ialah perkhidmatan AI generatif boleh mempercepatkan kemunculan platform baharu untuk menjadi tuan rumah gelombang aplikasi revolusioner untuk perniagaan dan pengguna tanpa bergantung kepada platform AS.
Itu adalah lombong emas yang berpotensi untuk industri yang baru muncul daripada trauma tindakan keras internet Xi selama dua tahun, yang menyebabkan syarikat teknologi mengalami sifar pertumbuhan tahun lalu.
Tiada siapa hari ini mahu terlepas apa yang disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Corp Jensen Huang sebagai “detik iPhone” generasi mereka.
“Ini adalah perlumbaan senjata AI yang berlaku di AS dan China,” kata Daniel Ives, penganalisis kanan di Wedbush Securities. “Teknologi China sedang berhadapan dengan persekitaran kawal selia yang lebih ketat di sekitar AI. Ini ialah peluang pasaran AS$800 bilion di seluruh dunia dalam dekad yang akan datang, dan kami hanya berada di peringkat awal.”