spot_img
spot_img

RM23 juta untuk penulisan teks dan perhubungan awam

spot_img

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat perkhidmatan media memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa beliau dibayar hampir RM23 juta untuk tiga tahun menulis teks ucapan bahasa Inggeris kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Mohd. Omar Mustapha daripada syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. menyatakan, lantikan syarikat itu dalam penyediaan ucapan tersebut dibuat secara tidak rasmi (tiada dokumen pelantikan) dan hanya secara lisan.

Selain itu, Mohd. Omar yang juga bekas pegawai khas utama Najib sewaktu bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri berkata, pembayaran yang diberikan dibuat secara bulanan melalui cek yang ditandatangani Najib di hadapannya.

- Advertisement -

Beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada cek tersebut dari akaun peribadi bekas Presiden UMNO itu atau sebaliknya.

“Syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. menyediakan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepada Najib antara Mac 2011 hingga April 2014.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya ada menerima pembayaran daripada Datuk Seri Mohd. Najib sebanyak RM22,981,688.00 melalui 39 keping cek antara 3 Mac 2011 hingga 23 April 2014 yang mana kesemuanya atas perkhidmatan yang diberikan.

- Advertisement -

“Saya menerima terus daripada Datuk Seri Najib. Cek yang diterima adalah jenis ‘unnamed cheque’ (tiada nama pembayar), cuma ada nombor rujukan akaun. Tetapi cek-cek itu ditandatangani oleh Najib sendiri di hadapan saya,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-45 itu berkata demikian dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, Mohd. Omar berkata, beliau berjumpa dengan Najib di pejabat Perdana Menteri pada Mac 2011 untuk menawarkan khidmat pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepadanya.

Ujarnya, beliau menawarkan perkhidmatan tersebut selepas timbul isu perkhidmatan oleh syarikat perhubungan awam (PR), APCO Worldwide kepada kerajaan Malaysia yang mana pada tahun 2010 pihak kerajaan membayar kepada APCO sebanyak RM76.8 juta setahun.

“Pembayaran ini dibuat oleh pihak kerajaan atas perkhidmatan PR Antarabangsa yang diberikan oleh APCO antara Julai 2009 hingga Jun 2010.

“Pembayaran ini menjadi isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang dalam Parlimen dan sehubungan itu saya difahamkan kontrak antara APCO dan kerajaan selepas itu tidak disambung. Ekoran isu tersebut, saya melihat terdapat peluang perniagaan di situ,” katanya.

Katanya, dalam pertemuannya dengan Najib beliau menawarkan perkhidmatan itu secara kos dahulu (reimburse) yang mana setiap bulan saya akan mengemukakan tuntutan (claim) kos kepadanya untuk dibayar.

 

 

Sumber – UTUSAN

 

 

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img