PRU15 lalu menyaksikan Pas bersama rakan sekutunya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya menyapu bersih semua 14 kerusi parlimen di negeri ini termasuk menumbangkan orang lama dalam arena politik negara iaitu Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li di Gua Musang.
Berpandukan kepada yang dikatakan ‘tsunami’ itu, PAS bersama Bersatu yang menggunakan simbol PAS pada PRN nanti dijangka tidak berdepan masalah untuk berdepan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Malah Pas dilihat mampu mengurangkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh BN pada PRU14 lalu. Mengambil kira keputusan PRU15 lalu, BN hanya dijangka mampu mempertahan kerusi DUN di kawasan Gua Musang iaitu Galas, Nenggiri dan Paloh.
Info Kelantan :
Jumlah DUN : 45
Jumlah pengundi : 1.4juta orang
Parti bertanding : 39 PAS, 6 Bersatu, 31 BN, 14 PH.
Sementara itu di Negri Sembilan pula, tarikh pembubaran DUN yang dijangka pada 30 Jun ini, namun masih sukar untuk melihat sentimen dan arah sokongan pengundi-pengundi di negeri ini.
Banyak faktor yang boleh menyebabkan keputusan pada pilihan raya yang lepas tidak akan sama coraknya untuk PRN kali ini. Ia termasuklah daripada segi faktor satu lawan satu yang akan berlaku selain kebimbangan peratusan keluar mengundi yang rendah.
Tetapi berbanding dengan lima buah negeri lain, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan jauh lebih kukuh bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN). Ini kerana kedua-dua gabungan itu mempunyai kekuatan yang sama di negeri marginal (majmuk komposisi kaum) ini.
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dimenangi oleh kedua-dua parti itu dengan PH memenangi 20 kerusi lantas membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya itu.
Daripada 20 buah kerusi itu, DAP membentuk jumlah yang terbesar iaitu sebanyak 11 kerusi diikuti enam buah kerusi milik PKR manakala Parti Amanah Negara (Amanah) menang tiga lagi kerusi.
BN pula memenangi baki 16 buah kerusi lain dengan 15 buah kerusi dimenangi calon dari UMNO manakala satu kerusi lagi milik calon dari MIC.
Jika dilihat situasi berkenaan ditambah kerjasama dalam semangat Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk di antara PH dan BN ketika ini, sudah pasti tidak salah untuk membuat jangkaan kedua-dua gabungan parti itu mampu memenangi PRN di negeri ini.
Ia kemudian ditambah dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu yang menyaksikan kesemua lapan kerusi Parlimen di negeri ini menjadi milik PH dan BN. Lima kerusi dimenangi oleh BN manakala tiga lagi oleh PH.
Berdasarkan kedua-dua faktor berkenaan, ada yang berpandangan, PH-BN bukan hanya boleh sekadar menang di Negeri Sembilan malah boleh membentuk sebuah kerajaan negeri tanpa ada wakil pembangkang untuk merebut walau satu kerusi.
Mengambil kira status quo, PH dan BN akan memasuki PRN kelak bagi mempertahankan setiap kerusi DUN yang telah dimenangi mereka pada PRU14 lalu.
Info Negri Sembilan :
JUMLAH KERUSI : 36
JANGKAAN KERUSI DIMENANGI
PAKATAN HARAPAN : 18
BARISAN NASIONAL : 15
SENGIT : 3