spot_img
spot_img

Kerajaan komited meningkat taraf kesihatan awam untuk semua golongan

spot_img

PETALING JAYA: Kerajaan akan mencari jalan untuk menggabungkan dana-dana kesihatan bagi meningkatkan perkhidmatan untuk rakyat termasuk meningkatkan pelaburan dari 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekarang kepada lima peratus di sektor itu.

Itu adalah antara inti pati Kertas Putih Kesihatan yang dibentangkan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat semalam.

Langkah itu bermaksud seluruh golongan rakyat akan menerima perkhidmatan komprehensif dan tidak terikat kepada kemampuan individu melalui penyatuan dana-dana kesihatan agar membolehkan perkongsian risiko kesihatan dan kewangan.

- Advertisement -

Berita Tular pernah menyiarkan isu sektor kesihatan awam yang seharusnya dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira pendapatan sebagai tanggungjawab sosial dan menjadi suatu aspek ‘penghargaan serta kebanggaan’ kepada seluruh warga Malaysia.

Tarik subsidi kesihatan pula selepas semuanya ditarik ?

Komitmen ini sekali gus membawa pakej manfaat kesihatan dengan menyenaraikan perkhidmatan kesihatan dan ubat-ubatan yang boleh diakses oleh rakyat dan akan dibiayai melalui dana itu dengan tadbir urus dan pengawasan yang jelas dan telus.

- Advertisement -

Kertas Putih itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti melalui undian suara pada hari terakhir Sidang Dewan Rakyat, semalam selepas dibahaskan oleh 28 ahli Parlimen selama hampir empat jam.

Dr. Zaliha menjelaskan, ia merupakan antara strategi di bawah tonggak ketiga bertujuan memastikan pembiayaan kesihatan yang saksama merangkumi reformasi pembiayaan kesihatan agar lebih mampan, mempunyai perlindungan risiko kewangan lebih baik dan mengurangkan perbelanjaan duit poket sendiri.

Selain itu katanya, dua lagi strategi dicadangkan adalah meningkatkan pelaburan kesihatan di bawah pengurusan sektor awam secara berperingkat kepada lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ini dengan mengambil kira kedudukan dan kemampuan fiskal kewangan kerajaan, kerjasama strategik pelbagai sektor dan penggunaan sumber serta aset merentasi pelbagai pihak berkepentingan.

“Struktur fi semasa di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan disemak semula supaya subsidi penjagaan kesihatan disasarkan dengan lebih baik dan sistematik. Kementerian Kesihatan juga meneliti opsyen yang sesuai untuk menggembleng sumber pembiayaan kesihatan seperti opsyen skim caruman kesihatan progresif bagi memastikan kemampanan pembiayaan kesihatan.

“Selain itu memastikan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang cekap dan berkesan dengan memperkukuhkan peranan pembelian strategik untuk membolehkan perolehan perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui model pembayaran yang inovatif dan berasaskan nilai.

“Pengagihan peruntukan dan sumber kesihatan juga akan ditambah baik supaya tertumpu ke arah intervensi yang lebih kos efektif dengan penekanan terhadap penjagaan kesihatan primer,” katanya.

Menurut Dr. Zaliha, perbelanjaan kesihatan sektor awam Malaysia pada 2022 adalah 2.2 peratus daripada KDNK berbanding purata perbelanjaan kesihatan awam negara-negara berpendapatan sederhana tinggi dan tinggi iaitu masing-masing pada kadar 4.4 dan 6.4 peratus sekali gus memperlihatkan peruntukan di bawah pengurusan sektor awam negara ini masih pada tahap rendah daripada segi pembiayaan kesihatan.

Katanya, perbelanjaan kesihatan awam yang rendah sejak sekian lama telah mengakibatkan kekangan kepada kerajaan memenuhi keperluan sumber manusia, infrastruktur dan peralatan termasuklah mengoptimumkan semua sumber kesihatan negara secara kos efektif dan efisien.

“Sebaliknya tahap perbelanjaan duit poket sendiri rakyat Malaysia adalah tinggi iaitu 34 peratus berbanding dengan negara setara seperti Thailand dan Turkiye yang masing-masing hanya sembilan peratus dan 17 peratus. Rakyat pelbagai lapisan terasa tertekan mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih cepat di sektor swasta dengan terus membayar wang tunai sendiri.

Perbelanjaan itu memudaratkan rakyat Malaysia akibat keperluan kesihatan, jelas Menteri Kesihatan itu.

Selain itu, Dr. Zaliha menambah, sistem penyampaian penjagaan kesihatan negara yang tidak berintegrasi menyumbang kepada pengagihan perkhidmatan dan sumber kesihatan yang tidak seimbang di negara ini.

Beliau kemudian memberikan contoh iaitu fasiliti penjagaan kesihatan primer sektor awam merangkumi hanya 28 peratus daripada keseluruhan fasiliti penjagaan kesihatan primer tetapi mengendalikan hampir 64 peratus daripada lawatan pesakit luar sekali gus menyebabkan fasiliti dan anggota di sektor awam terbeban lebih-lebih lagi semasa kemuncak pandemik Covid-19.

“Laporan Audit Negara tahun 2018 menunjukkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital sektor awam berpunca daripada kekurangan kakitangan, kehadiran pesakit yang tinggi, kekurangan pembiayaan dan tidak mempunyai peralatan yang mencukupi untuk menyediakan tahap penjagaan yang sewajarnya,” kata beliau.

Dr. Zaliha menambah, kekangan itu tidak terhad kepada Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital sahaja, sebaliknya mencerminkan keadaan di kebanyakkan fasiliti kesihatan kerajaan yang merangkumi klinik dan hospital apabila kesesakan dan masa menunggu yang panjang turut menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan.

(Dr Zaliha Mustafa – Menteri Kesihatan Malaysia)

Beliau mendedahkan data terkini Kementerian Kesihatan yang menunjukkan bahawa masa menunggu mendapatkan rawatan seperti pembedahan kardiotorasik, pembedahan katarak, pembedahan neuro dan lain-lain boleh mengambil masa sehingga tiga sehingga 15 bulan.

Menteri Kesihatan mengakui pada masa kini, banyak fasiliti kesihatan dan peralatan di sektor awam sudah uzur dan memerlukan penambahbaikan serta penggantian apabila sehingga kini terdapat sebanyak 1,200 fasiliti kesihatan yang daif atau mengalami kerosakan teruk di samping mengalami risiko keselamatan seperti mendapan, keretakan bangunan dan kebakaran yang boleh membahayakan nyawa.

“Ketidakseimbangan antara sektor awam dan swasta juga dipengaruhi oleh faktor geografi. Fasiliti penjagaan kesihatan awam meliputi seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan kawasan terpencil, manakala fasiliti penjagaan kesihatan swasta lebih tertumpu di kawasan bandar dan kawasan separuh bandar.

“Perkara ini memberi tekanan terhadap sumber-sumber Kementerian Kesihatan untuk memenuhi keperluan di seluruh negara termasuk kawasan yang sudah pun ada sumber perkhidmatan kesihatan bukan Kementerian Kesihatan,” kata Dr. Zaliha.

Kertas Putih Kesihatan yang mengariskan empat tonggak dan 15 strategi dirangka berdasarkan lima aspirasi iaitu mewujudkan sebuah negara yang sihat dengan ekosistem kondusif supaya generasi muda lebih peka dan mengutamakan keperluan untuk sihat.

Selain itu katanya, sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat, di mana perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih dekat dengan komuniti dan berkualiti dengan kos berpatutan dapat dicapai dengan mengambil kira faktor seperti kekangan geografi.

“Aspirasi ketiga, sistem kesihatan yang berdaya tahan dan responsif untuk menangani cabaran seperti peningkatan penyakit tidak berjangkit dan krisis kesihatan seperti wabak.

“Seterusnya aspirasi keempat, ekosistem kesihatan yang terbuka dan inovatif dengan memanfaatkan kemajuan teknologi serta inovasi terkini dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan supaya lebih efisien dan berkesan. Aspirasi kelima adalah sistem kesihatan negara yang dihargai dan dibanggakan oleh semua,” katanya.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img