Alor Setar : Aktifnya Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Shahidan Kassim, Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Noh Omar dalam kempen mereka terhadap ‘keburukan’ UMNO di bawah Presiden Zahid Hamidi boleh memberi impak besar kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menang cemerlang di negeri-negeri Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, malah tidak mustahil kerusi DUN Melayu di negeri-negeri pentadbiran PH juga dijangka menjadi milik PN.
Hanya Annuar Musa dan Shahidan Kassim secara rasmi menyertai PN melalui parti PAS, Noh Omar juga menyertai gabungan PN tanpa menyertai mana-mana parti di dalam komponen itu lagi.
PRN kali ini juga seperti pertembungan di kawasan Melayu antara pemimpin UMNO lama yang dibuang dan pemimpin UMNO yang menyokong Presiden mereka.
Kemenangan yang sama boleh diulang seperti cemerlangnya kemenangan Datuk Seri Shahidan Kassim bersama gabungan tersebut secara tidak langsung membantu PN menang 17 daripada 18 kerusi di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
(Shahidan bersama kepimpinan PAS)
Bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang disebut di atas mempunyai pengikut yang ramai, sudah pastinya membantu kemenangan PN. Seperti Khairy ia bakal memberi impak dan tidak mustahil boleh membantu merampas Negeri Sembilan dari PH.
Begitu juga dengan pengaruh Noh Omar di Selangor, ia akan memberi PN kemenangan di DUN Melayu negeri itu.
Noh Omar lantang dalam mengkritik UMNO kini dengan mendakwa parti itu kini hanya ‘didiami oleh kaki bodek’. Beliau yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, telah mengesahkan akan bertanding pada PRN negeri akan datang atas tiket PN
Sebelum ini, media melaporkan, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dijangka bertemu dengan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu depan. Tanpa mendedahkan secara terperinci, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dilaporkan berkata, pertemuan tersebut bagi memberikan keputusan muktamad beliau, dipercayai mengenai tawaran menyertai parti berkenaan.
Adakah pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO itu akan memberi impak yang positif atau negatif kepada UMNO, bakal terjawab pada PRN kali ini. Mereka yang pernah menjadi tonggak kepada parti berkenaan, tetapi akhirnya mereka dilihat pro-Muhyiddin berbanding Zahid Hamidi, dengan memberi sokongan kepada Pengerusi PN itu untuk menjadi Perdana Menteri sejurus keputusan PRU15 diumumkan.
Penganalisis politik juga mempunyai pandangan, tokoh seperti Khairy mungkin mempunyai risiko di masa hadapan jika beliau menyertai PN. Ini kerana penyokong beliau juga terdiri daripada kaum bukan Melayu. Adakah Khairy sanggup mengenepikan faktor favorite leader untuk semua kaum rakyat Malaysia dan menyertai parti yang memperjuangkan naratif sepenuhnya kepada bangsa Melayu dan agama Islam ?
(Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin masih menunggu jawapan dari Khairy untuk menyertai partinya)
PN sangat berharap akan pengaruh mereka untuk membantu menambah kekuatannya.
Bekas Setiausaha Agong UMNO, Annuar Musa sangat beriltizam untuk menafikan kemenangan UMNO. Dalam catatan sosial medianya, beliau sangat aktif di dalam perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin masyarakat dan ceramah-ceramah PAS berskala besar.
(Annuar Musa yang dipecat UMNO kini menganggotai PAS)
Annuar mengkritik UMNO dengan mendakwa bahawa parti itu tidak menghormati keputusan majoriti pengundi PRU15 dengan memilih untuk bersama DAP dan PH, menolak untuk bersama gabungan parti-parti pribumi seperti PAS, Bersatu, GPS, GRS dan termasuk UMNO sendiri.
Annuar yakin tindakan UMNO memilih untuk bersama PH telah menjadikan parti itu tidak relevan, dan tersasar dari harapan orang Melayu.
Dengan perkembangan semasa kini yang dilihat memihak kepada kemenangan PN, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berakata, “Selain gelombang-gelombang ini, ada satu lagi gelombang yang tidak boleh dilupakan iaitu bagaimana Allah SWT menjentik hati mereka untuk bersama dalam penyatuan ummah ini,” katanya.