KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan kepada Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mendapatkan identiti dan lokasi terkini pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya akan melakukan permohonan berkenaan esok bagi membantu siasatan berhubung klip video oleh Jocelyn yang tular di media sosial.
“Pada 7 jun lalu, polis sudah membuat permohonan profiling kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan perkara itu masih lagi dalam tindakan SKMM,” katanya.
Acryl berkata, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 504/505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Sebelum ini, Jocelyn yang merupakan seorang pelawak kelahiran Singapura telah mengeluarkan perkataan kesat kepada Malaysia dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia‘ di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini. Pelawak itu telah mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura hingga kini dikatakan dia telah hilang dari ‘radar’.
Menerusi klip video yang dimuat naik pada akaun TikTok, Jocelyn turut secara sengaja menghina seorang penonton persembahannya yang mengaku sebagai rakyat Malaysia dengan perkataan kesat yang sungguh memalukan.
Susulan itu, TikTok sudah mengeluarkan video tular berkenaan yang turut mengandungi kenyataan menghina Malaysia dan tragedi MH370, kerana mengandungi ucapan berunsur kebencian.
(Menghina mangsa MH370 dan pesawat MAS yang hilang)
Jocelyn juga turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun berbanding negaranya yang lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, dalam satu kenyataan berkata, Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan negara itu.