KUALA LUMPUR: Pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai 62.1 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) setakat 31 Mei lalu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, COPA itu melibatkan 5,085 tapak 5G, meningkat 2.6 peratus daripada sebelumnya (59.5 peratus COPA dilaporkan pada akhir April lalu).
“Pada March 31, liputan tersebut adalah sebanyak 57 peratus, saya gembira untuk mengumumkan sehingga 31 Mei lalu, liputan rangkaian 5G berada pada 62 peratus.
“Negara berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 80 peratus liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun, yang akan dicapai melalui Digital Nasional Berhad (DNB).
“Apabila sasaran ini tercapai, kerajaan akan membenarkan pembentukan rangkaian kedua dan kemudian akan memulakan pendekatan rangkaian borong dwi (DWN), seperti yang diumumkan bulan lepas,” katanya dalam ucapan di forum Invest Malaysia siri dua yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia di sini.
Ujarnya, Inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa dua bermula pada suku pertama tahun ini dengan dana RM8 bilion dengan matlamat untuk menghubungkan baki 3.0 peratus daripada penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil.
Jelasnya, ia juga bertujuan untuk menyebarkan akses jalur lebar gentian kepada 9 juta premis dan mempunyai kelajuan jalur lebar mudah alih 100Mbps, menjelang 2025.
“Kerjasama antara sfera swasta dan awam adalah penting untuk memastikan janji Digital Malaysia mempunyai capaian yang besar, daripada pusat bandar yang paling maju sehinggalah ke kawasan yang paling terpencil,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sektor teknologi dan telekomunikasi adalah pemacu penting kepada pasaran modal negara.
“Indeks Teknologi Bursa Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan ketara sejak 2013 (Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) 10 tahun: +14.9 peratus), mengatasi prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sebanyak +439 peratus .
“Begitu juga, Indeks Telco Bursa Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan, walaupun kecil, sejak dilancarkan pada 2018 (CAGR 5 tahun: +0.1 peratus), mengatasi prestasi FBM KLCI sebanyak +23 peratus.
“Ekonomi digital Malaysia dijangka akan menyumbang 25.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2025 dan mewujudkan setengah juta peluang pekerjaan.
“Bagaimanapun, disebalik penyertaan aktif dan perkongsian kukuh di kalangan semua pihak berkepentingan, kehadiran infrastruktur yang teguh adalah penting untuk memastikan pecutan kemajuan Malaysia sebagai ekonomi yang maju dari segi teknologi,” katanya.
Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa proses membina infrastruktur utama seperti 5G ini telah menjadi subjek perdebatan sengit kerana terdapat banyak perkara yang dipertaruhkan.
Bagaimanapun jelasnya, adalah penting untuk mengiktiraf kemajuan membanggakan yang dicapai pada separuh pertama tahun ini yang memberi inspirasi kepada keyakinan.
“Penyelesaian yang diumumkan baru-baru ini kepada pelancaran 5G menunjukkan kerajaan tetap komited untuk menetapkan dasar dan membentuk peraturan yang mempercepatkan kesediaan Malaysia, sambil meneruskan perkongsian dan penglibatan awam-swasta,” katanya.
Sumber – UTUSAN