spot_img
spot_img

Ketua Pengarah Bomba dilanjutkan tempoh hingga Disember

spot_img

PUTRAJAYA – Khidmat Datuk Abdul Wahab Mat Yasin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan dilanjutkan bermula Selasa sehingga 31 Disember ini.

Beliau yang sepatutnya bersara wajib pada 28 Mei lalu terus diberi kepercayaan mengetuai jabatan penting tersebut.

-ADVERTISEMENT-

- Advertisement -

Abdul Wahab berkata, meskipun tempoh lanjutan jawatan diberikan tidak lama sehingga hujung tahun ini, namun beliau tekad memberikan yang terbaik selain memantapkan lagi perkhidmatan JBPM kepada masyarakat dan negara.

Beliau yang mula menjawat Ketua Pengarah JBPM pada 15 Februari lalu mahu memperkasakan lagi bahagian keselamatan kebakaran.

“Saya akan terus berusaha memastikan proses kerja selari dengan misi dan visi JBPM, seterusnya mempercepatkan proses pembaharuan memulihkan negara.

- Advertisement -

“Apabila kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan negara dapat dipertingkatkan, maka ia akan meyakinkan kumpulan pelabur untuk datang ke Malaysia.

“Untuk itu juga, penstrukturan semula dan pemprosesan pelan JBPM akan dipertingkatkan termasuk menganalisa bebanan tugas anggota bomba,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Nota Serah Tugas Pengarah Bomba Negeri (PBN) melibatkan JBPM Kedah, Johor, Selangor dan Putrajaya di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya, pada Selasa.

Penyerahan nota serah tugas PBN melibatkan Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Awang Hidzel Awang Bujang sebagai PBN Kedah; Wan Md Razali Wan Ismail (PBN Selangor); Siti Rohani Nadir (PBN Johor) serta Penguasa Kanan Bomba I, Ashari Johari sebagai Pengarah JBPM Putrajaya.

Turut diadakan pemakaian tanda pangkat bagi Penguasa Bomba Gred KB54, KB52 dan KB48 JBPM.

Dalam majlis sama, Awang Hidzel, Wan Md Razali dan Siti Rohani turut dinaikkan pangkat sebagai Penguasa Bomba Gred KB54.

Selain itu, tiga pegawai lagi turut dinaikkan pangkat kepada Penguasa Bomba Gred KB52 iaitu Nor Ariffin Kamari, Md Ghezani Md Ghazi serta Hafisham Mohd Noor.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, JBPM terus memberi kepercayaan kepada anggota bomba wanita untuk menjadi PBN dan ia terbukti dengan pelantikan Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB), Siti Rohani, 52, sebagai Pengarah JBPM Johor berkuatkuasa 2 Mei lalu.

Beliau berkata, Siti Rohani adalah pegawai kanan bomba wanita kedua dilantik sebagai PBN, selepas PKPjB Sayani Saidon yang kini menjawat PBN Perak.

Jelas beliau, pelantikan Siti Rohani juga telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau berkata, pihaknya mengakui cabaran besar pasti menanti Siti Rohani memandangkan Johor adalah sebuah negeri yang besar dan membangun, selain JBPM Johor juga tidak pernah diterajui oleh pegawai kanan bomba wanita.

“Alhamdulillah, Siti Rohani juga bangsa Johor dan kami yakin dengan kebolehannya untuk memimpin JBPM Johor.

“Siti Rohani pernah memimpin Bahagian Keselamatan Kebakaran di Ibu Pejabat JBPM dan pengalaman itu akan digunakan sepenuhnya nanti,” katanya.

Tambahnya, pelantikan anggota kanan bomba wanita ke jawatan tertinggi dibuat secara teliti dan berdasarkan daya kepimpinan dan kebolehan yang dimiliki.

Beliau berkata, JBPM akan terus memberi peluang kepada pegawai dan anggota bomba wanita untuk menjawat jawatan tinggi dalam jabatan sekiranya memiliki sifat kepimpinan tinggi, pengetahuan luas serta berkebolehan.

Setakat ini menurutnya, JBPM mempunyai seramai 665 anggota bomba wanita yang ditempatkan di pelbagai peringkat termasuk di ibu pejabat, negeri dan daerah.

Sementara itu, Siti Rohani menganggap pelantikan dan tanggungjawab baharu itu sebagai satu rezeki, selain tidak menafikan ia sebagai satu cabaran memandangkan Johor sebuah negeri yang besar.

Katanya, beliau juga akan melihat semula kekuatan jentera dan keanggotaan sedia ada bagi negeri itu sebagai persiapan menghadapi apa juga isu-isu bencana dan kebakaran.

“Antara cabaran utama yang bakal dihadapi termasuk bencana banjir dan pemantauan keselamatan kebakaran memandangkan negeri ini menempatkan banyak kawasan industri,” katanya.

 

Sumber : Sinar Harian

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img