KUALA LUMPUR: Tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika berlindung di bawah jambatan atas di KM19.6 Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) arah selatan dekat Petaling Jaya pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam kejadian jam 5.59 pagi itu, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian.
“Semua mangsa adalah lelaki tempatan berumur antara 19 dan 37 tahun. Seorang daripada penunggang motosikal cedera parah dan dirawat di zon merah Hospital Sungai Buloh manakala dua lagi menerima rawatan di zon kuning,” katanya dalam kenyataan hari ini .
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki Honda City Hatchback berusia 26 tahun yang berasal dari ibu negara menuju ke Cyberjaya telah hilang kawalan kenderaannya sebelum merempuh mangsa.
“Lelaki itu juga didapati memandu dengan kadar alkohol melebihi had yang dibenarkan,” katanya.
Mohamad Fakhrudin berkata pemandu kereta itu telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran.
Sumber- Bernama