KUALA LUMPUR (22 Mei): BP Healthcare Group, yang diasaskan oleh Datuk Beh Chun Chuan, telah menyatakan minatnya untuk membeli atau memiliki sebahagian saham Pharmaniaga Bhd yang kini dilanda masalah kewangan, menurut laporan The Edge Markets.
The Edge Weekly telah menyiarkan berita bahawa kemungkinan Pharmaniaga akan dibeli oleh entiti yang berminat. Difahamkan Pharmaniaga telah menerima beberapa cadangan daripada pihak yang berminat yang ingin mengambil bahagian dalam penstrukturan semula syarikat farmaseutikal itu.
Antara pihak yang berminat menurut sumber itu termasuk dana institusi, firma ekuiti swasta dan entiti swasta dan terdapat juga beberapa cadangan lain.
Pharmaniaga merupakan syarikat konsesi terbesar yang membekalkan ubat generik kepada hospital awam.
Februari lalu, Pharmaniaga telah diklasifikasikan sebagai kategori Nota Amalan 17 selepas mencatatkan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM664.39 juta pada suku keempat berakhir 31 Dis 2022.
Syarikat itu mengalami kerugian besar RM552.3 juta pada vaksin Covid-19 yang tidak terjual. Begitu juga perniagaannya di Indonesia yang mengalami kerugian.
Kumpulan itu dikehendaki menyerahkan pelan penyusunan semulanya kepada pihak berkuasa yang berkaitan dalam tempoh 12 bulan selepas pengumuman itu, menjelang 27 Feb 2024.
BP Healthcare diasaskan oleh Beh dan isterinya Datin Poh Lay See pada 1982. Ia bermula sebagai pusat diagnostik kesihatan dan sejak itu telah berkembang menjadi penyedia penjagaan kesihatan bersepadu termasuk makmal klinik, farmasi, pusat pakar, ambulatori dan pergigian.