KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga baharu milik PETRONAS, Gentari Sdn Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd dan penyedia infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) berpangkalan di Bangkok, Evolt Technology Company Limited (Evolt) secara bersama melancarkan titik pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Thailand.
Tiga titik pengecasan arus ulang alik (AC) di Thailand yang dikendalikan Evolt itu dilancarkan di Exchange Tower, bangunan komersial terletak di daerah paling pesat membangun di Khlong Toei, Bangkok.
Pemasangan titik pengecasan baharu itu selaras dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Gentari dan Evolt awal tahun ini dengan kedua-dua pihak bekerjasama meneroka bidang baharu pembangunan dan pelaburan bersama dalam pengembangan infrastruktur pengecasan EV serta potensi mobiliti hijau serta penyelesaian tenaga bersih yang lain di seluruh Asia Tenggara.
Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Shah Yang Razalli, berkata kerjasama dengan Evolt adalah satu usaha yang mengujakan bagi memanfaatkan kepimpinan pasaran syarikat dari Bangkok itu untuk memacu usaha sulung Gentari ke dalam pembangunan infrastruktur serantau di Asia Tenggara.
“Matlamat kami yang lebih besar adalah untuk memperkukuh rangkaian mobiliti hijau merentasi pasaran utama di Asia Pasifik, dan perkongsian ini memainkan peranan penting dalam mencapai objektif itu, sambil memacu peralihan ke arah mobiliti mampan di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Evolt, Kanchalerm Earsakul berkata, stesen pengecasan itu adalah contoh terbaharu syarikat itu terhadap inovasi dan kemampanan dengan tawaran teknologi termaju dan perkhidmatan yang luar biasa.
“Kami percaya stesen ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik. Kami tetap komited untuk menerajui peralihan kepada masa depan pengangkutan yang lebih bersih dan hijau,” katanya.
Di Thailand, rangkaian Evolt terdiri daripada lebih daripada 10,000 pengecas AC dan arus terus (DC) yang dipasang di seluruh 77 wilayah di negara berkenaan.
Sejak diperkenalkan pada Jun 2022, Gentari telah mencapai kemajuan pesat dalam mengembangkan rangkaian mobiliti hijaunya.
Sehingga 18 Mei 2023, Gentari melalui entiti gabungannya, telah mewujudkan lebih 150 titik pengecasan di Malaysia dan lebih 170 titik lagi di India, sebagai tambahan kepada tiga titik pengecasan baharu di Thailand.
Dengan misi untuk menjadi penyedia penyelesaian mobiliti hijau pilihan Asia Pasifik, Gentari menyasarkan untuk menguasai 10 peratus bahagian pasaran (kira-kira 25,000 titik pengecasan berdasarkan anggaran semasa) merentasi pasaran utama di Asia Pasifik menjelang 2030.
Pada tempoh jangka masa pertengahan, Gentari menyasarkan untuk memasang 9,000 tempat pengecasan awam menjelang 2026, dengan mengukuhkan kehadiran di Malaysia dan India.
Sumber : Mohd Zaky Zainuddin (Berita Harian)
Foto : Berita Harian