SHAH ALAM: Pendakwah bebas, PU Amin, berpendapat mengadakan hiburan alternatif adalah cara paling santun untuk membantah penganjuran konsert Cold Play.
Mengulas lanjut, Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim, 33, hiburan alternatif yang berkonsepkan selawat dan Islamik dilihat lebih relevan berbanding bantahan secara vokal atau demonstrasi.
(PU Amin)
Menurut Amin, orang akan tetap pergi ke konsert itu, jadi pilihan hiburan berasaskan majlis selawat yang juga mempunyai nyanyian, gema, irama, namun ada batasannya juga perlu diadakan pada hari yang sama.
Amin memberi contoh ketika Blackpink datang Malaysia, Raihan juga membuat konsert.
“Saya rasa ia lebih releven dan berjaya menarik jiwa orang muda. Saya rasa itu bantahan paling santun,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia di majlis sidang media Program Islamik Havoc Street Food Fest 2023.
Sebelum ini, Amin pernah mengambil pendekatan melakukan teguran secara lantang dan terbuka.
Namun cara demikian dilihat sekadar menumpang populariti para selebriti dan tidak berkesan dalam masyarakat.
“Dulu saya bersikap melakukan bantahan kepada beberapa nama selebriti.
“Ya, kita dapat publisiti. Namun ia tidak memberi kesan kepada masyarakat.
“Pengikut (di laman sosial) memang naik tapi dari aspek hala tuju dakwah, ia tak menjadi,” tambahnya.
Terdahulu, Amin mengulas mengenai bantahan pengajuran konsert kumpulan muzik terkenal dari United Kingdom, Coldplay oleh para agamawan.
Coldplay dijadualkan mengadakan konsert di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November ini.
Tiket konsert Coldplay Music Of The Spheres World Tour itu dilaporkan sudah habis terjual dalam tempoh tiga jam sahaja apabila dibuka. Namun peminat band itu mengecam kerana ramai yang membeli tiket adalah terdiri daripada ‘ulat tiket’ atau dipanggil scalper (pengikis). Scalper akan mengambil kesempatan dengan menjual semula tiket tersebut dengan harga berlipat kali ganda. Penganjur konsert tersebut adalah syarikat antarabangsa iaitu Live Nation.
Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mahu penganjuran konsert dari kumpulan rock itu dibatalkan kerana pada pandangan parti itu ia jelas menjadi duri dalam daging bagi meracuni pemikiran dan budaya rakyat Malaysia yang jelas menyokong kumpulan LGB dan ia mempunyai mudarat yang lebih besar kepada anak bangsa.
(Coldplay menyebarkan pengaruh hak kesamarataan hubungan sejenis atau LGBT – lesbian gay bisexual & transexual)
Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan negara, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 34, terbuka dengan penganjuran konsert Coldplay yang bakal berlangsung November depan selagi kumpulan popular tersebut menghormati negara dan tidak mengibarkan bendera LGBT.
Manakala pemimpin DAP Selangor, Shakir Ameer menempelak PAS dan mereka yang ingin memboikot konsert itu dengan mendakwa parti Islam itu hanya membantah disebabkan faktor keuntungan politik semata-mata. Beliau berkata jangan hanya melihat perkara negatif, kumpulan rock itu juga mempromosikan kitar semula alam semulajadi, dan memperjuangkan pengurangan pencemaran karbon di dunia. “Ini juga nilai yang baik yang digalakkan Islam”, ujar Shakir.
(Shakir Ameer)
Media-media Indonesia juga telah memainkan sentimen LGBT dan adakah patut konsert Coldplay diteruskan di negara itu. Sebelum itu, Coldplay telah beberapa kali menolak tawaran mengadakan konsert di republik itu. Pada tahun 2017 Coldplay melakukan konsert keliling dunia bertajuk “A Head Full of Dreams Tour” termasuk di Singapura, Seoul, dan Tokyo. Coldplay tidak memilih Jakarta kerana negara itu tidak mencegah pencemaran udara, masalah sampah-sarap yang tidak ditangani, dan aktiviti penebangan hutan secara berleluasa di samping faktor agama yang tidak menjamin hak kesamarataan hubungan sejenis LGBT.