Kota Bharu 17 Mei : Menteri Belia dan Sukan perlu memberi penjelasan terbuka dan permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas prestasi buruk pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Jumlah 34 pingat emas adalah jauh dari sasaran 40 emas yang ditetapkan oleh Menteri sendiri, maka beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya.
Orang ramai berhak mengetahui apakah sebab Malaysia mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah Sukan SEA.
Kritikan dan persoalan itu dilemparkan oleh Ahmad Ridhwan Md Nordin yang merupakan Exco Armada Bersatu.
(AHMAD RIDHWAN B MD NORDIN)
“Kami percaya dana yang diperuntukkan untuk persiapan Sukan SEA adalah mencukupi kerana Program Podium yang ditamatkan pada 2021 telah dipulihkan semasa pentadbiran Perikatan Nasional pada awal 2022 dengan RM 240 juta yang diperuntukkan semula”, katanya yang juga memegang portfolio Pengerusi Biro Sukan & Rekreasi bagi sayap parti Bersatu.
Ahmad Ridwan menggesa ketelusan daripada Menteri Belia & Sukan Hannah Yeoh akan kelemahan prestasi atlet negara dan menjelaskan apakah isu yang dihadapi oleh kontinjen yang menyebabkan kutipan pingat yang kurang memuaskan disamping rasionalnya menteri berkenaan menetapkan target 40 emas kepada kontinjen negara sebelum temasya sukan itu.
“Armada percaya portfolio Belia dan Sukan adalah tanggungjawab besar yang memerlukan kepimpinan yang kuat dan praktikal”, katanya lagi.