Johor Bahru 1 Mei : Isu pengampunan bekas Perdana Menteri yang dijatuhkan hukuman penjara, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sememangnya meresahkan UMNO, terutamanya akar umbi mereka. Juga menampakkan ‘serba salah’ pemimpin peringkat atasan mereka.
Kerunsingan paling ketara adalah apabila parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang pro kepada parti di dalam komponen kerajaan perpaduan, secara jelas dan terbuka menolak perjuangan rakan sekerajaan mereka, iaitu UMNO untuk memberi sokongan, solidariti, perbicaraan semula atau pengampunan kepada Najib.
UMNO perlu merenung sejenak siapa sebenarnya lesser evil di antara semua parti politik yang pernah dan bersamanya. PAS dan Bersatu pernah bersama UMNO.
Jika UMNO menubuhkan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) + Gabungan Parti Sarawak (GPS) , mewujudkan kerajaan majoriti Melayu Bumiputera, tentangan kepada kehendak UMNO tidak begitu ketara berbanding sekarang. Sepanjang permusuhan politik, Pakatan Harapan (PH) lah yang paling kuat memusuhi UMNO sejak PRU14 lagi dengan serangan yang begitu berjaya kepada Najib hingga jatuhnya Barisan Nasional (BN) pada PRU14 yang lalu. PH terdiri daripada parti PKR, Amanah dan DAP.
Manakala PAS pernah dan sanggup bekerjasama, bersoladiriti bersama UMNO di dalam Muafakat Nasional pada pasca PRU14 lalu walaupun ketikia itu UMNO buat pertama kali dalam sejarah menjadi pembangkang dan pemimpin utamanya semua diseret menjadi kluster mahkamah.
Tidak timbul PAS mempersoalkan isu Najib, Zahid, Azeez Rahim, Bung Mokhtar dan lain-lain, malah PAS sanggup berkawan semasa UMNO di zaman kejatuhannya itu. Dengan Muafakat Nasional lah UMNO kembali bangkit dan menang banyak PRK selepas PRU14.
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/08/463888/kerjasama-umno-pas-boleh-diperkukuhkan-hadi
Kemudian terjadinya Langkah Sheraton, PAS ditawarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu untuk bersama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Perlu diingat bahawa Bersatu juga mempelawa dan mengambil kembali UMNO untuk bersama menjadi kerajaan. UMNO dari pembangkang, kini menjadi kerajaan kerana Bersatu memberi tempat menerima UMNO secara en bloc, melawan arahan bekas pengerusi Bersatu, Tun Mahathir yang mahu memilih dahulu ahli-ahli parlimen BN, bukan kesemua mereka.
Sepanjang pentadbiran PN, Bersatu tidak pernah secara terbuka menentang segala perjuangan UMNO yang tidak sealiran dengan mereka. Bersatu juga amat sensitif serta tidak membincangkan isu-isu UMNO secara terbuka di media. Malah UMNO diberi tempat di dalam kerajaan, GLC, kerajaan negeri terutamanya di Johor, sewaktu Menteri Besar ditukar daripada Menteri Besar Bersatu kepada UMNO, Datuk Hasni, Bersatu tidak juga membuat bising dan malah masih sopan menjaga persepakatan PN itu.
Parti-parti Melayu, terutamanya UMNO perlu sedar bahawa, sesama bangsa dan agamalah yang paling mudah untuk sama-sama membantu dan membina negara, kerana ia adalah perjuangan ABATA (Agama Bangsa dan Tanah Air) yang seiring dan sesama sedarah.
Jika… tangan dihulur, ego diketepikan oleh semua yang terlibat, tidak mustahil sebuah kerajaan yang kukuh yang majoriti Melayu Bumiputera, di samping bukan Melayu sebagai penyokong, seperti era 80-an, 90-an dahulu, dapat diwujudkan semula. Semua kaum akan menikmati kestabilan politik seterusnya menjamin kemakmuran negara. Ini adalah rekod yang terbukti, kenapa kita tidak mahu ikut track record ini ?
Marilah semua pemimpin Melayu Islam Bumiputera berganding bahu bersama membangunkan semula negara Malaysia bersama rakan-rakan dari bangsa lain. Parti Melayu yang dominan perlu menguasai dan memimpin negara ini semula berdasarkan demografi serta acuan politik majoritinya. Jika tidak, tiada kestabilan yang akan dapat diperolehi oleh semua kaum di negara ini. Melayu mesti bersatu padu.
Dr Hasmi Yusuff – Bandar Tun Hussein Onn Johor
Pendapat pengarang tidak mencerminkan pendirian Berita Tular