KUALA LUMPUR: Aspek kebebasan media yang menjadi antara tunjang demokrasi, secara keseluruhannya menunjukkan perubahan memberangsangkan di negara ini.
Tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaafar, berkata lonjakan besar dari aspek itu dilihat berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
“Kita harus faham tiada kebebasan mutlak dalam dunia media, di mana-mana pun tiada. Tetapi secara keseluruhannya, ada perubahan sangat baik berlaku selepas 2018, ada kebebasan yang agak memberangsangkan dari segi media,” katanya.
Menurutnya, soal kebebasan media perlu bermula dengan iltizam pihak kerajaan untuk media melakukan peranannya sebagai tonggak keempat selepas legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Johan berkata, mana-mana media tidak wajar dianggap sebagai menentang kerajaan apabila mereka menyiarkan artikel-artikel yang dilihat kritikal terhadap dasar atau tindakan diambil pihak kerajaan.
Berdasarkan Indeks Kebebasan Media Dunia 2022 dikeluarkan kumpulan bukan berasaskan keuntungan Reporters Without Borders (RSF), Malaysia menduduki tempat ke-113 dari 180 negara, naik enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Menerusi indeks itu, Malaysia menduduki ranking tertinggi dalam kalangan negara ASEAN, mendahului Thailand (115), Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam ( 174) dan Myanmar (176).
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini dilapor berkata, kebebasan media menjadi antara komitmen Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan proses semak dan imbang kerajaan berjalan dengan baik.
Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang bakal diadakan di Ipoh, Perak antara 27 hingga 29 Mei ini turut mengangkat tema ‘Media Bebas dan Selamat, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dan juga keselamatan wartawan dalam menjalankan tugas mereka.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata suara media penting dalam memastikan perkara berkepentingan masyarakat diberikan perhatian seperti isu kenaikan harga barangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebebasan media harus dipraktikkan sewajarnya terutama dalam membantu mewujudkan satu bentuk minda keselamatan kepada masyarakat.
“Ini adalah perkara yang penting bagi memastikan negara kita dijaga daripada isu-isu berhubung dengan sensitiviti perkauman, keselamatan dan sabotaj ekonomi,” katanya.
Sementara itu, Koordinator Latihan Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Imran Noordin, menyambut baik keputusan memasukkan elemen ‘selamat’ dalam tema HAWANA 2023 memandangkan cabaran perlu dihadapi wartawan kini telah bercambah dan bukan semata-mata berbentuk ancaman keselamatan fizikal sahaja.
“Cabaran kepada wartawan telah mencambah, bukan lagi semata-mata di tempat kerja tetapi menjurus kepada ancaman seperti buli siber dan ugutan,” katanya.
Sumber : Berita Harian