Rakyat Malaysia bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Syawal, dan kedengaran juga ahli-ahli politik pembangkang ‘berharap untuk gembira’ kononnya kejatuhan kerajaan perpaduan akan berlaku tidak lama lagi.
Terdapat banyak whatsapp tular bahawa kononnya kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi, manakala Perikatan Nasional (PN) akan kembali menjadi kerajaan bersama beberapa parti yang berpaling tadah dari kerajaan perpaduan sekarang.
Ada sumber mengatakan beberapa ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) terutamanya yang pernah berada dalam kerajaan PN sebelum ini sanggup melepaskan jawatan mereka sebagai ahli parlimen sehingga dipecat parti mereka supaya dapat memberi laluan kepada pilihanraya diadakan semula.
Tindakan yang boleh dianggap penting diri dan pengkhianatan ini ‘dihalalkan’ dengan alasan bahawa kerajaan kini tidak stabil atau terlalu dikuasai ‘Cina DAP’; naratif sama yang digunakan parti politik pembangkang semasa melawan kerajaan PH 1.0 pasca PRU14 lalu.
Adakah benar seperti yang didakwa bahawa rakyat keseluruhannya merasakan kerajaan ini tidak stabil atau sekelompok tertentu sahaja ? Dapatan Berita Tular dari rakyat biasa yang tidak berparti politik, mereka merasa kerajaan sekarang sedang melakukan yang terbaik bagi menstabilkan negara, namun seperti biasa dinafikan secara total oleh pihak pembangkang.
Pembangkang tidak bersetuju dengan kesemua inisiatif kerajaan dan tidak begitu membina. Tiada satupun inisiatif positif yang dilakukan pembangkang dalam check and balance dengan kerajaan. Keutamaan pembangkang yang dilihat rakyat kini ialah menumbangkan kerajaan semata-mata dengan alasan ‘kestabilan’ dan demi agama Islam.
Hingga bila perkara seperti ini akan selesai ? Tabiat ‘tebuk atap’ ini amat menyusahkan rakyat dan ekonomi. Parti pembangkang khususnya PN harus berhati-hati agar rakyat tidak melihat mereka hanya sebagai peruntuh kerajaan sejak Langkah Sheraton.
Tetapi agak sedikit lega kerana desas-desus ini dinafikan oleh parti-parti dalam kerajaan dan pimpinan PN sendiri.
Komponen BN, MCA berpegang teguh kepada ketetapan yang dibuat gabungan itu dalam menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar Ibrahim seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong.
Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan dengan keras bahawa beliau bersama beberapa pemimpin BN lain dalam usaha untuk menumbangkan Perdana Menteri. Kononnya usaha itu akan dilakukan bersama ahli parlimen Datuk Seri Wee Jeck Seng, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Seri M Saravanan. Usaha Berita Tular dalam menghubung Hishammuddin bagi mendapat komen, belum berjaya hingga kini.
Wee Ka Siong berkata tuduhan itu adalah serius dan pihak media diingatkan harus mendapatkan kepastian terlebih dahulu sebelum melaporkan sebarang desas-desus mengenai MCA.
”Mengarut dan tidak berasas, MCA tidak tahu dan tidak terlibat !”, kata Presiden MCA itu.
Desas-desus itu juga ‘digula-gulakan’ dengan naratif bakal Perdana Menteri selepas tumbangnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah dari Sabah atau Sarawak.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan pantas menafikan yang mereka tidak bersekongkol dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.
Melalui Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadhilah Yusof, GPS komited serta berdiri teguh bersama kerajaan perpaduan dalam menyokong segala usaha untuk pemulihan ekonomi negara.
Tambah Fadhilah lagi, Premier Sarawak (Ketua Menteri) Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah beberapa kali menekankan kepentingan kerajaan yang stabil dan kukuh bagi meletakkan Malaysia ke landasan yang betul.
Jika politik ‘tebuk atap’ terus menjadi amalan pembangkang waima siapa pun parti politiknya, kesejahteraan rakyat dan kekayaan negara akan jauh ketinggalan berbanding negara ASEAN yang lain, tegas Timbalan Perdana Menteri yang ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Kuching.
Mengenai pertemuannya dengan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia adalah berkenaan peruntukan kerajaan kepada ahli parlimen pembangkang, namun belum ada permohonan rasmi dari parti-parti pembangkang. Kerajaan hanya akan melayan jika ada hitam putih dari pembangkang, tegasnya.
Begitu juga dengan pemimpin Bersatu, mereka juga menafikan terlibat adanya usaha menjatuhkan kerajaan. Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Faizal Azumu dan bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan Anwar akan tumbang dengan sendiri akibat masalah persefahaman di antara parti politik komponen dalam kerajaan.
Jadi siapakah yang akan mengepalai dalam usaha ‘menggulingkan’ kerajaan sekarang ?