spot_img
spot_img

Kuasa beli hari raya kurang dari tahun lepas

spot_img

PETALING JAYA: Ramai peniaga yang mengharapkan kuasa membeli orang ramai melonjak ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini akhirnya jatuh tersungkur apabila sambutan yang diterima tidak sehebat tahun lalu.

Pelbagai faktor termasuk kenaikan kos sara hidup, ekonomi yang tidak menentu serta ketiadaan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat menjadi penyumbang utama keadaan tersebut.

Akhirnya, ramai peniaga yang merungut terpaksa menanggung kerugian kerana apa yang diharapkan dapat melonjak ekonomi mereka ketika musim perayaan terbesar ini tidak kesampaian.

- Advertisement -

Mengulas dakwaan tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, keadaan itu terjadi kerana ternyata pembelian setiap individu pada tahun ini tidak besar seperti tahun lepas.

“Kuasa membeli untuk setiap individu pada tahun ini berkurang sebanyak kira-kira 30 peratus. Itu sudah tentu memberikan tamparan hebat kepada para peniaga kerana masing-masing beranggapan sambutan tahun ini akan semeriah tahun lalu.

“Pada tahun ini, kami menjual produk sebanyak 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding tahun lalu dengan harapan ia dapat mengurangkan beban pembeli.

- Advertisement -

“Jumlah pelanggan yang hadir sebenarnya lebih tinggi kerana kami ada membuat jualan Rahmah di mana harga pakaian dijual dengan harga lebih murah. Namun, prestasi jualan memang lebih rendah daripada tahun lepas.,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, itu mungkin kerana kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang meningkat sehingga menyebabkan perbelanjaan isi rumah terjejas, jadi sudah tentu orang ramai lebih berhati-hati dalam berbelanja.

“Simpanan KWSP pada tahun ini juga tidak dapat dikeluarkan seperti tahun lalu, jadi orang ramai tidak dapat berbelanja dengan mewah,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga StarVendors 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Afiq Ismail, 27, berkata sambutan pada tahun ini sangat teruk sehingga dia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM80,000.

Ujarnya, melihat kepada trend pengunjung, orang ramai hanya bertanya harga sahaja dan lebih kepada hadir untung mencuci mata berbanding membeli.

Katanya, dengan penganjuran yang berlangsung selama 100 jam tanpa henti bermula 13 hingga 17 April lalu, pelanggan yang hadir tidak sebenarnya tidak sampai 50 jam kerana orang ramai lebih memilih untuk datang pada waktu malam sahaja.

“Pada waktu siang memang pengunjung tidak ramai. Hasil jualan memang jauh daripada  memuaskan tetapi saya dikira bernasib baik kerana dapat pulangan modal sewa tapak. Namun, modal untuk keseluruhan perniagaan separuh pun tidak sampai.

“Kami ada menambah stok kerana kononnya mahu bersedia untuk gelombang StarVendors yang akan berlaku tetapi malangnya, sepanjang acara tu kami dapat menjual kurang daripada 100 helai pakaian berbanding 400 hingga 500 stok pakaian yang kami ada,” katanya.

Menurut Afiq, dia sudah tentu rasa terkilan dengan apa yang berlaku kerana perniagaannya menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini jatuh tersungkur.

“Nasib baik saya menjual pakaian jadi ia boleh dijual semula pada tahun depan. Bagaimana pula dengan mereka yang menjual makanan?

“Tidak kisahlah jual apa pun tetapi peniaga bergantung kepada modal itu untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini seperti menyediakan bantuan untuk peniaga.

“Selain itu, jenama-jenama besar yang mempunyai ramai ejen dan stokis mungkin boleh mencipta satu program untuk memulangkan semula stok dan berikan semula modal sekurang-kurangnya separuh,” katanya.

 

 

Sumber : SHAFIQAH SHUKOR / Utusan Malaysia

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img