JOHOR BAHRU (20 April): Kerajaan Johor mengisytiharkan Isnin (24 April) sebagai cuti umum tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pengisytiharan ini dibuat mengikut Seksyen 8 dan 9 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).
“Dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan negeri Johor berkenan mengisytiharkan 24 April 2023 (Isnin) sebagai hari kelepasan am tambahan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Hati-hati di jalan raya dan semoga semua selamat pulang ke kampung halaman,” katanya dalam satu kenyataan Khamis.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan pusat telah memutuskan untuk mengisytiharkan sama ada Jumaat (21 April) atau Isnin sebagai hari kelepasan am tambahan, bergantung pada tarikh 1 Syawal.
Sejak 1 Jan 2014, Johor telah menetapkan Jumaat dan Sabtu sebagai hari cuti mingguannya.
Foto : Awani