spot_img
spot_img

Hubungan Arab Saudi dan Iran, peranan China telah mengubah kuasa AS

spot_img

TIDAK seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri terdahulu, lebaran tahun ini disambut lebih bermakna apabila tirai dibuka dengan detik geopolitik bersejarah. Pada 10 Mac lalu, umat Islam menyaksikan bibit keamanan tercetus di Asia Barat apabila China berjaya menjadi pengantara perjanjian yang memulihkan hubungan antara dua kuasa Islam terbesar rantau itu, Arab Saudi dan Iran.

Pemulihan hubungan Arab Saudi dengan Iran memunculkan banyak perkara baharu yang positif dan memberi isyarat bahawa pengantaraan China menjadi satu mercu pengiktirafan terhadap kedudukan baharu Beijing dalam dasar global.

Kesannya, Washington semakin gelisah. Malah, sekutu terkuat mereka iaitu rejim Zionis Israel juga ‘cuak’ dengan perkembangan Arab-Iran. Ini tidak dapat disorok malah dinyatakan secara terang-terangan oleh media antarabangsa termasuk Associated Press (AP). Dalam berita bertarikh 11 Mac lalu, AP menjudulkan beritanya seperti berikut, Saudi deal with Iran worries Israel, shakes up Middle East.

Di mata Israel, perkembangan terbaru itu menutup percubaannya mengheret Amerika Syarikat (AS) ke kancah perang nuklear dengan Iran, malah Tel Aviv mungkin berfikir dua kali sebelum menghantar Katsa atau skuad pembunuh Mossad untuk membunuh saintis nuklear Tehran.

- Advertisement -

Sama juga dengan Washington, perkembangan tersebut turut menyekat sekatan ekonomi AS ke atas Iran serta negara lain di seluruh dunia. Kesannya, tonggak utama negara Uncle Sam itu, iaitu petrodolar kini terancam.

RIZAB PERSEKUTUAN

Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, AS berpendirian mereka berhak membuli negara seantero dunia. Mana-mana kerajaan yang tidak ‘demokratik’, maka segala jentera daripada perkakasan perang sehinggalah ejen revolusi akan dihantar untuk menjatuhkannya atas nama ‘pertukaran rejim.’ Semua ini memerlukan modal cukup besar yang dipam dari kantung kewangan AS iaitu Rizab Persekutuan.

- Advertisement -

Mengenai Rizab Persekutuan, ia adalah sebuah mesin cetak dolar AS yang dibentuk melalui pakatan sulit beberapa kartel kewangan antarabangsa pada 1910. Taikun kartel-kartel ini bertemu dan berkumpul di sebuah pulau kecil di luar pantai Brunswick di Pulau Jekyll, AS dan merancang pelan tindakan menubuhkan Rizab Persekutuan.

Kemudian selepas Perang Dunia Kedua pada 1945, AS berjaya memiliki sebahagian besar bekalan emas dunia. Justeru, mereka bersetuju menebus sebarang dolar AS kepada emas jika negara lain menambat mata wang mereka kepada dolar.

Negara lain menandatangani perjanjian dinamakan Perjanjian Bretton Woods pada persidangan Bretton Woods 1944, sekali gus mengiktiraf dolar AS sebagai mata wang rizab dunia. Selanjutnya pada 14 Februari 1945, Presiden Franklin D. Roosevelt memulakan pakatan dengan Arab Saudi. Perjanjian 1945 itu mengukuhkan hubungan antara dolar dan minyak. Maka wujudlah petrodolar.

Namun pada 1971, susulan kekalahan Perang Vietnam, banyak negara mendesak untuk menebus kembali mata wang dolar masing-masing dengan emas yang sebelum itu disimpan oleh AS. Meskipun Presiden Richard Nixon menyahkan dolar daripada standard emas AS, namun pada 1979, AS dan Arab Saudi sekali lagi berunding.

Hasil rundingan itu, Arab Saudi bersetuju menggunakan dolar AS untuk kontrak minyak sebagai balasan atas persetujuan AS membangunkan jazirah Arab itu. Susulan itu, negara-negara pengeksport minyak seluruh dunia bersetuju menggunakan petrodolar untuk membiayai penggunaan domestik masing-masing. Hasilnya, dolar menjadi mercu keunggulan AS apabila ia didagangkan secara global dalam dagangan komoditi terpenting dunia, iaitu petroleum. Ini bermaksud setiap tong petroleum haruslah didagangkan melalui dolar AS sahaja.

Maka, semakin kayalah empayar AS. Melalui kekayaan itu, dihasilkan pula produk eksport lain ke serata dunia iaitu ‘demokrasi’, ‘hak asasi’, ‘toleransi’ dan ‘kebebasan mutlak’ dalam acuan sistem digelar globalisasi. Dari situ, muncullah AS sebagai kuasa dunia tunggal atau unipolar.

UNIPOLAR

Melalui kuasa ekonomi khususnya mata wang dolar AS, negara adikuasa itu menjalankan kempen peperangan di seluruh pelosok muka bumi. Terbaru, mereka membiayai Ukraine dan Israel dalam perang yang meruntuhkan kestabilan dunia apabila perang Ukraine memusnahkan Eropah manakala perang di Palestin memusnahkan Asia Barat.

Jauh lebih dahsyat, AS menjadikan dolar sebagai senjata untuk mengenakan sekatan demi sekatan ekonomi terhadap negara sasaran. Dalam konteks Russia misalnya, sejurus Moscow diheret ke dalam operasi ketenteraan di Ukraine, AS menyekat dan merampas rizab asing negara itu bernilai AS$300 bilion di bank-bank di seluruh hemisfera utara.

Itu menghantar gelombang penolakan yang dahsyat sehingga komuniti global mula menghidu, AS telah mempersenjatai mata wang dolar. Antara yang menghidunya adalah kuasa ekonomi dunia termasuk China dan India. Untuk rekod, kedua-dua negara nuklear itu menduduki carta 15 negara dengan Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) terbesar dunia dengan kedua-duanya berjumlah AS$17.3 trilion pada 2022.

Monkey see, monkey do – apabila dua kuasa nuklear itu mula memberi isyarat tidak selesa dengan sikap AS yang tergamak mempersenjatai mata wang sendiri, akibatnya dolar AS kini ditolak oleh banyak negara sebagai mata wang rizab dunia.

Beberapa negara bersetuju menggunakan yuan China dan rupee India untuk transaksi mata wang antarabangsa.

Di Asia Barat, Arab Saudi misalnya, meskipun masih menggunakan petrodolar tetapi tidak secara agresif. Ini jelas apabila Arab Saudi kini membenarkan pelbagai mata wang digunakan untuk membeli minyaknya. Malah terkini, Arab Saudi juga menolak permintaan Washington supaya mengepam lebih banyak minyak untuk mengurangkan kos tenaga dan ini mesej, “Saya tidak perlu lagi mengikut telunjuk Uncle Sam.”

Sama juga dengan Jepun selaku gergasi ekonomi Asia, mereka mula membeli minyak dan gas secara langsung dari Russia sekali gus mengabaikan sekatan tenaga yang dikenakan AS. Hal sama turut merebak ke Amerika Latin apabila Brazil, sebuah jaguh ekonomi di kedudukan ke-12 daripada 15 kuasa ekonomi terbesar dunia turut bersetuju menggunakan yuan dalam perdagangannya yang semakin erat dengan Beijing.

Dengan semua perkembangan yang kebetulan berlaku pada musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini, nampaknya konsep songsang unipolar dan kerajaan tunggal dunia dipimpin Uncle Sam semakin ditolak termasuk oleh sekutu kuat Washington sendiri. Misalnya, pada 5 hingga 8 April lalu pun, Presiden Perancis, Emmanuel Macron bertemu Xi Jinping semakin berani meminggirkan AS dengan kenyataan kontroversi, “Perancis adalah sekutu tetapi bukan vasal (jajahan takluk) AS.”

(Presiden Perancis Emmanuel Macron)

Harus diingat, sebelum menjadi Presiden, Macron pernah berkhidmat sebagai jurubank pelaburan di Rothschild & Co. Dalam buku epik berjudul The Creature from Jekyll Island tulisan Edward Griffin, dia menyatakan bahawa Rothschild selain keluarga Morgan, Rockefeller, Warburg dan Kuhn Loeb adalah kartel yang terlibat mencaturkan penubuhan Rizab Persekutuan.

 

PENULIS Fahmi Faiz ialah wartawan Utusan Malaysia.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img