spot_img
spot_img

Polis pantau trafik Aidilfitri bermula 20 April

spot_img

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan 5,431 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di peringkat kontinjen dan daerah bagi memastikan kelancaran serta keselamatan trafik dalam tempoh Hari Raya Aidilfitri.

Kekuatan membabitkan 688 pegawai kanan dan 4,743 pegawai rendah JSPT turut ditempatkan di lokasi-lokasi panas kemalangan di seluruh negara bermula 18 April ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSPT, Datuk Mat Kasim Karim berkata, dijangka lebih 2 juta kenderaan berada di atas jalan raya di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

- Advertisement -

Menurut beliau, JSPT akan melaksanakan penugasan dengan menempatkan petugas di lokasi yang dikenal pasti kekerapan berlakunya kemalangan.

“Sepanjang Op Lancar dan Op Selamat 20 yang akan dilaksanakan tujuh hari bermula 20 April ini juga akan melaksanakan rondaan secara berkala mengikut statistik lokasi, waktu dan hari kekerapan berlakunya kemalangan

“Tindakan juga akan diambil kepada pengguna jalan raya tegar, sering melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya semalam.

- Advertisement -

Mat Kassim berkata, kajian pihaknya mendapati faktor utama kemalangan disebabkan sikap pemandu kenderaan.

Kata beliau, setiap pemandu perlu bersikap toleransi antara satu sama lain bagi risiko kemalangan.

“Selain itu, memandu di dalam keadaan keletihan, ketegangan emosi atau di bawah pengaruh alkohol atau dadah juga boleh mengundang kepada kemalangan.

“Ada juga kemalangan disebabkan memandu sambil bermain alat komunikasi atau gadget, melanggar peraturan lampu isyarat berwarna merah, menukar lorong tanpa memberi isyarat dan memandu dengan sangat laju tanpa memikirkan pengguna jalan raya yang lain,”jelasnya.

EMOSI

Oleh itu, Mat Kassim mengingatkan pemandu sentiasa mengawal emosi ketika di jalan raya dan sentiasa berhemah.

“Rancang perjalanan dengan betul iaitu tempoh pemanduan, jarak dan masa pemanduan, lokasi berehat dalam perjalanan dengan membuat jadual perjalanan bersama keluarga bagi mewujudkan pergerakan yang tersusun dan terancang,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, Op Selamat 20 kali ini dikurangkan kepada lapan hari bertujuan memberi fokus kepada mengurangkan kadar kemalangan maut terutamanya penunggang dan pembonceng motosikal.

“PDRM akan menggunakan pendekatan memberi perkhidmatan kepada semua pengguna bertujuan memberi keselesaan dan keselamatan serta keyakinan masyarakat semasa berada di jalan raya.

“Kita juga akan bekerjasama dengan semua agensi kerajaan yang lain dalam mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan, sebanyak 76 lokasi di semenanjung diklasifikasi sebagai lokasi hitam kerana kerap berlaku kemalangan dalam tempoh setahun lalu.

Ia berdasarkan senarai yang dikeluarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) yang mana 76 kawasan hitam tersebut membabitkan lokasi-lokasi di Jalan Persekutuan dan lebuh raya di negara ini.

 

Sumber – UTUSAN

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img