spot_img
spot_img

Bagaimana minyak masak bersubsidi diseleweng ?

spot_img

PETALING JAYA: Penyelewengan minyak masak bersubsidi banyak membabitkan pakatan antara pemborong, pengedar dan pembungkus sebelum minyak tersebut dibotolkan untuk dijual kepada pihak industri atau diseludup ke negara jiran bagi mengaut keuntungan berlipat ganda, menurut laporan Utusan Malaysia hari ini.

Bagi terus mendapat bekalan bersubsidi, kumpulan tersebut akan memalsukan invois pengedaran minyak masak bersubsidi yang kononnya habis dijual di pasaran tempatan.

Memberitahu kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, memalsukan invois yang dikemukakan kepada penguat kuasa kerap berlaku melibatkan syarikat pembungkus yang dibekalkan sejumlah minyak masak secara bulanan iaitu antara 50 tan hingga 500 tan (100,000 ke 500,000 kilogram).

- Advertisement -

Menurut sumber, syarikat pembungkus akan dibayar kira-kira 60 sen bagi setiap sekilogram minyak masak bersubsidi kerajaan.

“Ketirisan dipercayai berlaku apabila mereka membungkus semula minyak masak bersubsidi ke dalam botol menggunakan jenama syarikat untuk dijual ke pihak industri dengan harga berlipat ganda kerana ia bukan di bawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Bagaimanapun mereka membuat tuntutan palsu dengan membuktikan kuota subsidi itu telah habis digunakan dalam pasaran tempatan dengan harga RM2.50 sekilogram walhal ia diseleweng dengan dijual pada harga lebih mahal,” katanya di sini semalam.

Jelas sumber, walaupun ba­nyak penguatkuasaan dilakukan namun penyelewengan barang bersubsidi tidak akan terhenti apabila wujud ‘demand’ dan ‘supply’ terutama dari negara jiran.

- Advertisement -

“Sindiket akan menjual minyak masak bersubsidi yang dibungkus dalam botol dengan menyeludup ke negara jiran. Ini tidak dinafikan memang ada berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pe­nguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, dalam tempoh empat tahun ini, sebanyak 679 kes penyelewengan minyak masak melibatkan RM15.88 juta dikesan sejak 2019 hingga tahun lalu.

Menurut beliau, jumlah tersebut melibatkan 106 kes pada 2019 (RM12.88 juta); 79 kes dengan nilai RM664,856 (2020); 188 kes pada 2021 (RM1.95 juta) dan 306 kes dengan nilai rampasan RM1.47 juta untuk tahun lalu.

“Pihak KPDN sentiasa me­lakukan risikan, pemantauan dan operasi bagi memastikan penyelewengan dan ketirisan barangan bersubsidi dibanteras habis-habisan,” jelasnya.

Semalam media melaporkan dua pengarah syarikat termasuk anak kepada bekas menteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Anak Hamzah Zainuddin didakwa kes minyak masak

Tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah, 39 dan Azizul Abdul Halim, 55, bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img