PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Nazlan Ghazali mendapati dia telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan ketika mengetuai kes SRC International, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Dalam surat bertarikh 20 Mac kepada peguambela Najib Razak, Shafee & Co, Azalina mengesahkan bahawa Nazlan, yang mengetuai perbicaraan SRC Najib di Mahkamah Tinggi, telah melanggar kod dan mempunyai konflik kepentingan.
Azalina berkata ini berdasarkan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Feb, yang dipanjangkan agensi itu kepadanya.
Azalina menjawab surat daripada peguambela Najib bertarikh 15 Mac yang bertanyakan sama ada SPRM telah menulis kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk mengesyorkan supaya prosiding tatatertib dimulakan terhadap Nazlan berhubung pengendaliannya terhadap kes SRC.
Dalam surat itu, firma guaman itu bertanya sama ada SPRM membuat kesimpulan bahawa Nazlan telah melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan.
Dalam suratnya membalas kepada Shafee, Azalina berkata: “Saya boleh mengesahkan bahawa jawapan kepada soalan (yang telah anda nyatakan) adalah afirmatif.