spot_img
spot_img

Kesukaran PN menubuhkan kerajaan dan mendapat undi bukan Melayu

spot_img

Keputusan PRU15 sememangnya menunjukkan majoriti kerusi Parlimen dimenangi oleh gabungan Perikatan Nasional (PN). Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meningkat daripada 13 kepada 31 kerusi (dua menggunakan bendera PAS), manakala PAS bertambah dengan ketara sekali iaitu sebanyak 25 kerusi, iaitu daripada 18 kepada 43 kerusi. Keputusan tersebut digambarkan amat menyerlah sekali menurut Dr. Tee Beng Lee, Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Namun kejayaan PN tidak melambangkan majmuknya Malaysia. Hampir kesemua kerusi dimenangi itu ialah dari kawasan undi majoriti pengundi Melayu. Anggota PN satu lagi, iaitu Parti Gerakan yang bertanding di kawasan campuran pula kecundang sama sekali, bahkan ada kerusi yang kehilangan wang deposit. Ini melambangkan PN menghadapi kesukaran untuk memancing undi bukan Melayu, menurut Dr Tee.

“Dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dijalankan di Melaka dan Johor sebelum PRU15, keputusan menunjukkan PN tidak mendapat sokongan nyata daripada pengundi bukan Melayu”, ujarnya.

- Advertisement -

Punca utama orang bukan Melayu tidak menyokong PN berbalik kepada sejarah ‘Langkah Sheraton’ di mana Bersatu yang merupakan salah satu anggota PH yang mengepalai kerajaan pasca PRU14 telah mengundurkan diri dari PH setelah 22 bulan memerintah, mengakibatkan kejatuhan kerajaan PH. Tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada Bersatu amat menghampakan para pengundi bukan Melayu yang mengundi semasa PRU14 kepada PH. Menurut Dr Tee, dua tokoh ini dianggap menjadi penyebab utama kepada kejatuhan kerajaan PH, maka parti pimpinan mereka berdua tentulah sukar untuk mendapat sokongan daripada penyokong PH.

Sebab utama pengundi bukan Melayu tidak menyokong PN menurut Dr Tee ialah haluan perjuangan Bersatu dilihat memihak kepada satu kaum sahaja. Tambahan lagi, kritikan tidak bertolak ansur segelintir pemimpin Pas menyebabkan pengundi bukan Melayu menjauhi PN dan sukar menerimanya. Dr Tee juga berpendapat PN bersikap acuh tak acuh terhadap undi bukan Melayu kerana sokongan padunya dari kaum Melayu. Akibatnya, parti komponen PN yang segmen bukan Melayu iaitu Gerakan, kini berada di dalam dilema.

Jika PN masih tidak mengubah haluan perjuangan mereka, maka Gerakan sukar untuk mendapat sokongan pengundi bukan Melayu. Bahkan, Gerakan akan kalah teruk di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu.

- Advertisement -

Dr Tee memberi fakta bahawa pengundi bukan Melayu pernah juga menyokong Pas, khususnya pada PRU 2008 dan 2013 ketika Pas di bawah pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun, keadaan berubah setelah berlaku perpecahan dalaman Pas di mana Mohamad Sabu keluar dari Pas dan membentuk Parti Amanah. Seterusnya, Amanah bersepakat dengan PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat. Semenjak itu, Pas kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu.

Di bawah latar belakang politik sedemikian menurut Dr Tee, mana-mana parti bukan Melayu yang bersepakat dengan PN didapati sukar untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu. Oleh sebab itu, Gerakan tidak menang satu kerusi Parlimen pun semasa PRU15. Gerakan juga dijangka tiada peluang cerah untuk menang di Pulau Pinang pada PRN akan datang, apatah lagi di negeri-negeri lain.

Sejak keluar dari BN pada 2018, Gerakan payah untuk berdikari. Pada 2021, ketika Muhyiddin masih memegang jawatan Perdana Menteri, Presiden Gerakan, Dominic Lau menyertai PN secara ‘profil tinggi’ dengan harapan untuk menghidupkan semula partinya dan PN memperoleh undi dari segmen bukan Melayu.

Keputusan PRU15, PN tidak berjaya membentuk Kabinet disebabkan ahli-ahli Parlimen BN tersekat oleh undang-undang lompat parti untuk melompat menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Selain itu, kegagalan Gerakan memperoleh sebarang kerusi dalam PRU turut menjadi penyebabnya.

Dr Tee menjangkakan Gerakan mungkin dilucutkan daripada PN jika mereka tidak menunjukkan apa-apa prestasi dalam PRN akan datang, malah Gerakan mungkin akan lesap terus dari arena politik Malaysia.

Sesungguhnya, Gerakan tidak progresif akibat hilang banyak sokongan sumber politik semenjak keluar dari BN pada 2018. Tambahan lagi, Gerakan kekurangan pemimpin berkaliber dan matlamat perjuangannya juga menjadi semakin kabur. Akibatnya, masyarakat bukan Melayu tidak menyokong parti ini. Gerakan tidak mampu menjawab isu apabila Bersatu mengkritik terburu-buru masyarakat bukan Melayu baru-baru ini yang mencetuskan ketidakpuasan yang hebat. Gerakan juga kelihatan tidak mampu mencapai kata sepakat yang tinggi dengan PN, dan pergabungan gagasan PN dilihat hanya semata-mata untuk tujuan memang dalam pilihan raya sahaja.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah PN mahu mengambil hati orang bukan Melayu dan pada masa yang sama menjadi juara kepada naratif perjuangan Melayu Islam seperti yang sedia diperjuangkan oleh mereka ?

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img