New York: Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pasukan peguamnya sudah bersedia untuk perbicaraan mahkamah yang dijadualkan berlangsung di Manhattan, petang esok.
Trump dilaporkan bertemu dengan penasihat dan pasukan undang-undangnya untuk merancang pembelaannya sebelum penerbangannya ke New York, esok.
Beliau akan diiringi anggota Perkhidmatan Rahsia AS dalam perjalanan ke New York.
Peguam belanya Joe Tacopina berkata, Trump dijangka terbang ke New York City dari rumahnya di Mar-a-Lago hari ini untuk menghadapi pertuduhan berkaitan dengan pembayaran wang tutup mulut yang dibuat kepada seorang bintang lucah.
Katanya, Trump kemudian merancang untuk kembali ke Florida selepas perbicaraan mahkamahnya serta akan berucap kepada penyokongnya.
“Mahkamah Manhattan akan ditutup pada sebelah petang untuk perbicaraan,” kata peguamnya.
“Bekas presiden itu tidak akan digari,” katanya.
Tacopina, berjanji sebarang pertuduhan terhadap bekas presiden itu akan diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh.
“Dia bersedia untuk pertarungan ini.
“Kami sudah bersedia untuk pertarungan ini. Dan saya berharap dapat menggerakkan perkara ini secepat mungkin untuk membebaskannya,” katanya kepada program This Week, ABC, semalam.
Laporan media mengatakan Trump akan menghadapi lebih 30 pertuduhan berkaitan penipuan perniagaan atas pembayaran AS$130,000 (kira-kira RM1.3 juta) kepada Stormy Daniels pada 2016 yang dibuat dalam usaha untuk menutup mulutnya atas dakwaan hubungan sulit mereka.
Sumber memberitahu media AS, bekas presiden itu didakwa atas tuduhan memalsukan rekod perniagaan di peringkat pertama.
Hakim Juan Merchan akan mengetuai perbicaraan jenayah Trump.
Pegawai penguat kuasa undang-undang termasuk FBI, pegawai mahkamah New York City dan Perkhidmatan Rahsia sudah bersiap sedia untuk perbicaraan esok.
Jabatan Polis New York juga dilaporkan meningkatkan tahap keselamatan untuk sebarang kemungkinan termasuk jangkaan protes di sekitar bandar itu.
Perhimpunan untuk Trump bersama ahli Parti Republikan, Marjorie Taylor Greene dijadualkan berlangsung tengah hari esok.
Kira-kira puluhan penyokongnya berkumpul di luar kediaman Trump di Florida pada hujung minggu, mengibarkan bendera dan sepanduk ‘Trump 2024’ kepada pemandu yang lalu lalang, kebanyakannya membunyikan hon sebagai sokongan, namun ada juga tidak bersetuju.
Trump, yang menyatakan hasrat untuk bertanding semula sebagai presiden pada 2024, menuduh semua ini adalah pendakwaan politik.
Beliau adalah presiden AS pertama didakwa dengan tuduhan jenayah.